- Iklan -
Kolum

Pembangkang menang Belanjawan 2021, kerajaan PN menang diiktiraf

Pembangkang kekal pembangkang, kerajaan kekal kerajaan.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Undian Belanjawan 2021 berakhir dengan kesudahan yang tidak dijangka.

Arahan ketua pembangkang Anwar Ibrahim di saat-saat akhir mengubah keputusan belanjawan yang mana sebelum ini ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) cuba mengucar-ngacirkan menjadikan medan undi di Dewan Rakyat untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Tindakan itu sebelum ini cukup penting bagi para penyokong pembangkang yang menanti sejak 23 September, ketika Anwar mengumumkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tumbang kerana beliau telah memperoleh majoriti “kukuh dan meyakinkan”.

Sejak pengumuman itu, Anwar dilihat berjaya mengucar-ngacirkan kerajaan PN, terutamanya apabila muncul sepucuk surat sokongan daripada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak untuk menjadikan dirinya sebagai perdana menteri ke-9 diserahkan kepada Yang di Pertuan Agong.

Bukan itu sahaja, Anwar terus dilihat mengucar-ngacirkan kerajaan PN apabila serangan beliau terhadap belanjawan kebetulan disambut secara senada oleh beberapa pimpinan Umno.

Semua ini menimbulkan persepsi bahawa kerajaan PN bakal jatuh pada hari pengundian belanjawan kerana Anwar akan membuktikan majoriti “kukuh dan meyakinkan” yang diuar-uarkan ke seluruh dunia pada 23 September lalu.

Meskipun begitu, pada hari penentuan tanggal 26 November yang lalu, Anwar tidak mengambil kesempatan ini untuk membuktikan majoriti beliau.

Lebih membingungkan rakan-rakan seperjuangannya dalam PH, termasuk beberapa ahli Parlimen PKR sendiri, ialah arahan beliau di saat akhir untuk tidak meminta undi belah bahagi Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat.

Arahan Anwar itu bukan sahaja menyebabkan peluang beliau untuk membukti majoriti “kukuh dan meyakinkan” terbazir, malah ia menyebabkan hubungan di antara parti-parti komponen PH tercemar teruk.

Dalam media sosial, ahli-ahli parti DAP dan Amanah bertalu-talu menyerang Anwar dan PKR selepas masing-masing disindir dan dimarahi penyokong mereka kerana tidak menolak belanjawan.

Tiba-tiba pula timbul khabar bahawa Anwar akan meletak jawatan sekiranya gagal menumbangkan kerajaan PN dalam tempoh tujuh hari.

Benar kata Anwar, pembangkang adalah pemenang terbesar apabila Belanjawan 2021 diluluskan.

Meskipun pelbagai sumber di PH meledakkan khabar ini kepada media dan media sosial, tetapi pejabat Anwar tampil menafikannya.

Walaupun berdepan dengan pelbagai tohmahan dan desakan, Anwar tetap mempertahankan keputusannya untuk mengeluarkan arahan di saat akhir kepada PH untuk tidak meminta undi belah bahagi.

Beliau bertegas bahawa tiada alasan untuk menolak belanjawan jika dilihat kepada kompromi dibuat Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.

Malah katanya, ia adalah satu kemenangan kepada pembangkang dan rakyat apabila kerajaan menambah baik had pengeluaran akaun 1 KWSP kepada RM10,000, serta moratorium pinjaman bank secara automatik diberikan kepada golongan B40 dan perusahaan kecil dan sederhana.

Benar kata Anwar, pembangkang adalah pemenang terbesar apabila Belanjawan 2021 diluluskan.

Kalau begitu, tiada sebab Amanah dan DAP perlu marah.

Nampaknya kompromi Tengku Zafrul menggembirakan Anwar dan pembangkang lalu memberikan kemenangan kepada pihak kerajaan apabila usaha beliau menambah baik belanjawan menyebabkan kerajaan PN diiktiraf pembangkang sebagai kerajaan yang pintu depan yang sah.

Mungkin inilah yang dipanggil situasi menang-menang.

Pembangkang menang kekal pembangkang, kerajaan PN menang kekal kerajaan.

Ada yang tertanya, apakah semua sandiwara politik ini hanyalah drama yang dirancang?

Ia susah dijawab, tapi kalau betul pembangkang bersedia menolak Belanjawan 2021 dan menjadi kerajaan semula selepas undian.

Oh ya, ada sesiapa nampak belanjawan alternatif pembangkang di mana-mana?