- Iklan -
Kolum

Cinta Jo dan Sally

Kisah cinta yang agung ialah cinta yang gagal.

Hishamuddin Rais
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Aku rasa amat tepat lagi sesuai aku mulakan surah awal ini dengan kisah-kisah cinta. Jantan cinta dengan betina dan betina cinta jantan.

Kisah cinta ini semua orang tahu. Mustahil ada sesiapa yang tak pernah jatuh cinta. Perasaan disayangi dan menyayangi ini adalah keperluan hidup.

Bayangkan betapa indahnya ketika bangun pagi kita tersedar bahawa ada orang yang sayang pada kita.

Pagi menjadi begitu indah walau pun saban malam tidur seorang diri.

Ah! Betapa sedihnya hidup ini. Makan nasi goreng kampung di Warung Mek Ngoh di Pantai Dalam seorang diri, tak ada teman yang menyayangi.

Aku rasa Tok Fakir di gunung Bora Bora mahu pun Zen Master di tepi Gunung Fuji perlu kepada kasih sayang.

Si tua Rumi menulis syair cinta sufi berkitab-kitab. Saadi khayal dengan bait-bait cinta yang tidak berkesudahan. Cinta dan kasih sayang inilah yang menggerakkan dunia.

Cinta yang agung ialah cinta yang gagal.

Aku suka berkisah. Aku kenal dengan kisah cinta ini seawal ingatan aku. Sebelum tahu membaca dan menulis aku dah kenal dengan surah cinta. Semasa aku membesar berlabun adalah anyaman hidup.

Tak berborak, tak bersembang, tidak bersurah, tak berceloteh atau bercerita tentang itu dan ini maknanya kita “tidak hidup”. Setiap hari kita bersurah. Setiap hari kita bercerita.

Ahli falsafah Perancis, Rene Descartes berkata: Aku berfikir maka aku wujud. Hishamuddin Rais kata: Aku berlabun maka aku wujud.

“Kau tau tak?” “Kau dah dongar?” “Den dongar dari… Ayah Ulung yang cakap….. Mak Cik Bibah bagi tahu omak den.”

Aku dibesarkan dengan ayat-ayat ini. Tak sudah-sudah ada saje cerita. Sambung bersambung. Tokok bertambah.

Sekarang bersurah, berlabun, berceloteh atau bersembang diganti dengan “membawang”. Yang muda untuk dilihat cool menggunakan ngopi atau ngeteh. Hanya bunyi lain isinya masih sama – berlabun.

Kisahnya begini, ketika itu aku baru masuk sekolah menengah, dalam tingkatan satu.

Dari kelas terbawah ini kami selalu melihat abang dan kakak dalam tingkatan tinggi seperti dewa dan dewi.

Mereka menjadi rujukan. Mereka menjadi ikutan. Remos rambut mereka, tali pinggang mereka, beg sekolah mereka – semua jadi ikutan. Kalau mampu nak beli basikal macam basikal mereka.

Ketika ini kami semua sudah akil baligh. Dah kenal jantan betina. Tapi belum pernah kena cium atau bercumbu jauh sekali pernah tidur sebantal. Di zaman aku membesar kami tak tahu pun apa itu khalwat. Kami penganut “Islam Budaya” yang tegar. Kami Melayu bukan Arab.

Cerita ini tentang seorang murid lelaki benama Jo dari tingkatan lima dikisahkan jatuh cinta dengan Salbiah seorang murid perempuan dalam tingkatan 4.

Kawan-kawan panggil Salbiah dengan nama timangan Sally. Jo dan Sally sedang bercinta.

Ramai murid-murid lain tahu. Cikgu juga pasti ada yang tahu.

Jo ini adalah ahli sukan sekolah. Seorang pelari jarak dekat yang pantas. Pemain pasukan bola sepak sekolah.

Saban tahun si Jo ini akan mendapat hadiah sukan sekolah. Sally pula “budak pekan” ertinya duduk dalam pekan Kuala Klawang.

Budak pekan ini, kerana itu nama menjadi Sally dilihat ranggi pandai melawa, berfesyen dan bergetah.

Ayah Sally pegawai Public Works Department (PWD) sebelum dimelayukan menjadi Jabatan Kerja Raya (JKR).

Di Kuala Klawang semua orang kenal dengan Mat Din PWD. Keluarga Sally tinggal di rumah kerajaan di pinggir pekan.

Sally ini ada seorang abang – aku panggil Alin yang juga pemain bola sepak yang baik saperti ayahnya.

Alin mungkin sebaya dengan Jo, tapi bukan dari sekolah yang sama.

Emak Sally dan Alin dikenali sebagai Cik Tijah. Berpinggang ramping, berambut rambut kerinting macam lagu “Nona Singapura” nyanyian R. Azmi.

Maklumlah orang pekan. Keluarga ini bukan orang Jelebu. Mat Din PWD dihantar untuk bertugas ke Jelebu.

Ada beberapa kali aku terserempak dengan keluarga empat beranak ini. Sebagai orang pekan, di waktu petang aku lihat mereka berjalan-jalan di taman bunga di sebelah padang bola sepak Kuala Klawang.

Mereka aku lihat seperti keluarga yang bahagia. Untuk aku bahagia ialah rumah ada api elektrik dan ada air paip. Rumah dekat sekolah.

Tak macam aku atau Jo. Mandi air perigi dan pakai lampu pelita. Saban pagi wajib berbasikal tiga batu untuk sampai ke sekolah.

Beberapa kali aku juga ternampak si Jo ini bermain bola dengan Alin. Aku juga pernah ternampak Mat Din PWD menjadi pengadil bola sepak di mana Jo dan Alin dalam satu pasukan.

Aku ternampak Sally dan ibunya duduk di kerusi batu di tepi padang sebagai penonton.

Pada hemat aku pada petang di padang bola itu, Cik Tijah sedang memerhatikan suaminya, anaknya dan bakal menantu sedang beraksi di padang bola sepak.

Sang suami menjadi pengadil, anak menjadi penjaga gol dan bakal menantu menjadi penyerang. Puluhan mata penonton sedang memerhati. Pastilah ibu ini amat berbangga. Pada aku inilah contoh keluarga bahagia.

Selepas perlawanan bola sepak petang itu ada beberapa kali aku ternampak Sally mengheret basikal Jo diiringi oleh Jo di tepi padang bola sepak tak jauh dari rumah Sally.

Dalam hati aku berangan-angan jika aku bercinta aku berharap kekasih aku akan sama mengheret basikal aku. Aduh! Indahnya hidup ini.

Tiba-tiba satu pagi dalam kelas aku terdengar, “Kau tahu tak ayah Alin kahwin lagi?” Zul membuka berita.

“Din PWD kahwin lagi satu.”

Disurahkan ayah Alin berkahwin dengan seorang perempuan dari Sungai Buluh.

Ini Sungai Buluh Simpang Durian, Jelebu bukan di Sungai Buluh Selangor.

Aku pun tidak dapat penjelasan Din PWD kahwin anak dara atau kahwin janda.

“Jauhlah Sungai Buluh tu,” aku memberi pandangan.

“Alaaaa… Din PWD ada motosikal… sejam sampailah,” Zul memberi penjelasan.

Zul kawan sekelas yang juga budak pekan. Zul anak pegawai pejabat daerah Jelebu.

Zul jiran kepada Din PWD. Rumah Zul hanya beberapa pintu jaraknya dari rumah Sally.

Waktu berjalan. Masa bergerak. Aku terus berbasikal ke sekolah. Dari tingkatan satu aku masuk ke tingkatan dua kemudian ke tingkatan tiga.

Jo dan Sally sudah meninggalkan sekolah. Jo mungkin sedang mencari kerja. Pasukan bola sepak sekolah berganti baru. Zul menjadi kapten pasukan bola sepak sekolah.

Pada satu pagi sebelum loceng pagi berbunyi aku dengar Zul membawa berita.

“Kau tau tak… malam tadi?” Zul bercerita seolah-olah hendak membuka surah hantu dengan “suspense”. Aku memasang telinga. Aku memang suka mendengar surah terutamanya cerita hantu. Seram menakutkan “kecut telur” dalam seluar tapi seronok.

“Ada apa?”

“Ada apa?” “Malam tadi Jo kena tangkap?”

“Mata-mata ke?”

Zul ketawa. “Bukan polis … Jo di tangkap oleh Din PWD,” Zul ketawa lagi.

“Jo sedang buat apa dengan Sally….dalam bilik ke?” Aku gatal ingin tahu.

“Jo bukan dengan Sally, Jo dengan emak Sally.” Zul memberi kata putus. Ketawa.

Kemudian memandang tepat pada muka aku. Aku yang mendengar tercengang.

Emak dengan “boyfriend” anak. Kisah macam ini tak pernah aku dengar. Betul ke cerita Zul ini?

“Bukan itu saja. Din PWD melaung-laungkan dan membangunkan jiran tetangga dan memberi tahu bahawa isterinya sedang bergomol dengan jantan.”

“Hoi…sapa nak tengok bini aku?” “Betina sundal ini dengan budak jantan ni.” Zul mengulangi dialog Din PWD.

Aku hampir tak percaya apa yang disurahkan oleh Zul. Mustahil Cik Tijah jatuh cinta dengan Jo. Apa akan terjadi pada Sally?

Sehari kemudian kisah Din PWD dan Jo heboh. Kuala Klawang pekan kecil. Kisah macam ini merebak macam jerami terbakar.

Pasti ada tokok tambah, dicampur rempah ratus, garam masala bersama Ajinomoto untuk menyedapkan cerita.

Dari dalam bilik menjadi atas katil. Dari berbaju kini menjadi berbogel.

Dikisahkan Din PWD sudah lama memerhatikan Jo yang kerap datang ke rumah untuk bertemu Sally.

Dari intipan sang suami, rupa-rupanya sang isteri memasang hati pada anak muda. Maka Din PWD buat perangkap. Dia menghilang ke rumah bini muda. Sebenarnya dia menunggu Jo berbasikal datang ke rumahnya.

Pada pagi ketika Zul membuka cerita di sekolah kepada aku sebenarnya Jo sudah menghilangkan diri. Entah ikut jalan mana Jo meninggalkan Jelebu.

Ikut Simpang Pertang ke arah Kuala Pilah? Atau ikut pekan Kuala Klawang ke arah Seremban? Di kampung tak ada siapa yang tahu ke mana Jo menghilangkan diri.

20 tahun aku berkelana apabila aku pulang dari merantau aku teringat kisah Jo dan Sally. Kuala Klawang masih Kuala Klawang.

Rumah kerajaan di mana Din PWD dan Zul tinggal sudah dirobohkan. Sekolah aku, Sekolah Menengah Undang Jelebu masih lagi wujud.

Kini jalan ke sekolah aku dinamakan Jalan Gurkha. Aku difahamkan Zul kawan sedarjah aku akhirnya kena “komat Jolobu” berkahwin dengan anak gadis Jelebu.

Kampong Jo tidak jauh dari kampung aku. Sampai hari ini aku tak mendengar khabar berita di mana Jo menghilang.

Mungkin tak ada siapa lagi di Jelebu yang ingat dengan Din PWD, dengan Sally atau dengan Cik Tijah. Ini kisah benar dari zaman lalu, hanya nama-nama yang terlibat aku tukar.

Aku merakamkan kembali kisah benar ini kerana aku masih memasang niat untuk mengheret basikal bersama kekasih seperti aku ternampak Sally mengheret basikal Jo di satu masa yang lama dulu.