- Iklan -
Berita

Duta AS diselar 'kurang ajar' selepas kerajaan Anwar diberi amaran jangan langgar garis merah

Ia selepas Edgard D Kagan berkata ada 'garis merah' yang perlu Malaysia patuhi susulan perjanjian 26 Oktober.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Pakar ekonomi Muhammed Abdul Khalid dan felo kanan MTEM, Yazid Othman.
Pakar ekonomi Muhammed Abdul Khalid dan felo kanan MTEM, Yazid Othman.

Pakar ekonomi Muhammed Abdul Khalid berkata duta Amerika Syarikat ke Malaysia melanggar batas diplomatik apabila membayangkan akan ada kesan sekiranya Putrajaya meneruskan permohonan menganggotai blok BRICS susulan sebuah perjanjian kontroversi yang dimeterai bersama Washington pada 26 Oktober lalu.

Menurutnya, kenyataan Duta Besar AS Edgard D Kagan itu mengesahkan Washington berhak menentukan hala tuju Malaysia berdasarkan perjanjian timbal balik AS–Malaysia yang kini berdepan kecaman orang ramai.

"Dalam perjanjian ini, kalau kita nak masuk perjanjian dagang lain, kita tak boleh merisikokan kepentingan AS. Jika kita nak masuk BRICS, kena tanya AS.

"Ataupun nak jadi ahli BRICS, kena tanya AS. Nak buat rundingan perjanjian dengan EU, kita kena tanya AS. Itu yang kita kata tindakan ini sudah melampaui batas, sampai ada yang kata negara ini dihina dan dipijak sesuka hati," katanya dalam podcast Tiger Show baru-baru ini.

BRICS merupakan blok ekonomi yang asalnya dibentuk oleh Brazil, Rusia, India dan China, di mana Malaysia turut memohon menjadi anggota. Meskipun BRICS dilihat persaingan hebat kepada negara-negara barat khususnya AS, keahlian dalam BRICS bakal membuka pasaran luas untuk negara berdagang seperti Malaysia.

Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia Edgard D Kagan cuba mempertahankan perjanjian dagang yang ditandatangani oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 26 Oktober, di mana Malaysia bersetuju membela kepentingan ekonomi Washington sebagai pertukaran untuk mengekalkan tarif 19% yang dikenakan oleh Donald Trump.
Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia Edgard D Kagan cuba mempertahankan perjanjian dagang yang ditandatangani oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 26 Oktober, di mana Malaysia bersetuju membela kepentingan ekonomi Washington sebagai pertukaran untuk mengekalkan tarif 19% yang dikenakan oleh Donald Trump.

Kagan baru-baru ini menegaskan kemakmuran jangka panjang Malaysia kekal berpaksikan rantaian bekalan Barat, sambil menyambut baik perjanjian ditandatangani Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama Presiden Donald Trump di Kuala Lumpur.

Di sebalik bantahan semakin lantang terhadap perjanjian itu yang disifatkan ramai pihak sebagai menggadaikan kedaulatan negara dan hak Malaysia menentukan dasar perdagangannya, Kagan berkata Washington menghormati hak kedaulatan tetapi "menetapkan beberapa garis merah dan akibatnya jika dilanggar".

Kagan juga dilaporkan berkata penyertaan Malaysia dalam BRICS tidak seharusnya bercanggah dengan hubungan ekonomi kukuhnya dengan AS.

Antara komitmen Malaysia dalam perjanjian dengan AS itu termasuk janji untuk membekalkan sumber mineral tanpa had kepada AS, melonggarkan sekatan terhadap produk Amerika, serta menerima piawaian pengguna AS bagi sektor makanan dan farmaseutikal.

Baca: Belum pernah seorang PM atau menteri Miti serah kedaulatan, jadikan Malaysia 'pak turut', kata pakar

Ia juga menetapkan bahawa jika Washington mengenakan sekatan atau tarif terhadap mana-mana negara ketiga atas alasan keselamatan negara, Malaysia juga perlu turut mematuhinya.

Muhammed berkata syarat tersebut menjejaskan dasar bebas Malaysia dalam hubungan antarabangsa dan menggugat kepercayaan rakan dagang utama seperti China.

"China pun banyak melabur di sini. Kita sejak dahulu lagi merupakan negara dagang  dari zaman Melaka sampai sekarang. Kita selalu berdagang dengan semua pihak dan tidak pernah memihak kepada mana-mana kuasa.

"Tapi sekarang, macam mana kita nak kekal di tengah-tengah kalau kita sudah ambil sisi? Kawan yang satu lagi itu (China) jauh lebih besar, lebih kaya, dan lebih berpengaruh di rantau ini berbanding Amerika.

"Kalau China nampak kita dah belah sana, apa mereka akan buat? Mereka takkan percaya lagi pada kita," tambahnya.

"Sebab itu duta Amerika berani bercakap dengan lantang, sampai berani kata 'be careful who you choose'."

Dalam podcast yang sama, seorang wakil Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM)  turut mengecam Kagan.

Yazid Othman, felo kanan MTEM, berkata kenyataan "kurang ajar" Kagan "sedikit sebanyak menggambarkan apa yang mereka rasa tentang diri mereka terhadap Malaysia". 

"Walaupun perjanjian itu belum aktif, kenyataan seperti ini menzahirkan semangat sebenar perjanjian timbal balik," katanya.

Tegasnya, amaran seperti itu tidak sepatutnya diterima mana-mana negara berdaulat.

"Sejak bila maruah kita diperkotak-katikkan begini? Itu hak kita. Kita nak berniaga dengan siapa pun, itu hak kita. China pun tak pernah paksa kita," katanya.

Yazid berkata Malaysia sepatutnya mengekalkan dasar diplomasi seimbang yang selama ini membolehkan negara bekerjasama dengan semua pihak tanpa tunduk kepada mana-mana kuasa besar.

"Inilah seni diplomasi yang kita banggakan  Malaysia mampu bekerjasama dengan semua pihak. Kita pernah menjadi suara utama dunia ketiga, memimpin OIC, menggerakkan Asean, dan menjalin hubungan rapat dengan China sejak 1970-an, waktu negara itu masih dianggap komunis dan dihina oleh Barat."