Ratusan polis, penguatkuasa banjiri Kg Sungai Baru bantu tindakan usir penduduk, media dihalang
Pegawai penguatkuasa dilihat memecah masuk kediaman penduduk yang sebelum ini berikrar melawan habis-habisan tindakan pemaju mengusir mereka.
Terkini
Ratusan pegawai penguatkuasa hari ini memasuki perkarangan Kampung Sungai Baru dalam tindakan terkini untuk memaksa penduduk mengosongkan kediaman mereka.
Selain pegawai polis yang memenuhi setiap sudut kawasan kediaman tersebut, turut menyertai operasi pengusiran adalah pekerja Tenaga Nasional Berhad bagi memotong bekalan elektrik dan pekerja kontrak yang diupah memunggah keluar barangan milik penduduk.
Penduduk bagaimanapun masih tidak berganjak daripada unit masing-masing, memenuhi janji mereka sebelum ini untuk mempertahankan rumah mereka.
Sementara itu, wartawan MalaysiaNow dihalang daripada membuat liputan selepas dihalau pihak polis.
Media diarah tidak lapor?
MalaysiaNow turut mengalami kesulitan berhubung dengan wartawan, dan ada kemungkinan pihak berkuasa menggunakan alat "jammer" untuk menghalang komunikasi.
MalaysiaNow turut difahamkan oleh sumber di sebuah akhbar tempatan bahawa media diarahkan pihak tertentu untuk tidak membuat liputan isu Kampung Sungai Baru.
"Sama ada isu bantahan penduduk mahupun tindakan pengusiran hari ini, kami diminta tak perlu pergi," kata seorang pengarang.
MalaysiaNow tidak mendedahkan identiti media tersebut sehingga mendapat pengesahan.
Bagaimanapun, kekangan terhadap media tidak berjaya menghalang pelbagai klip video dikongsi di beberapa platform media sosial oleh penduduk.
Pempengaruh terkenal seperti Ratu Naga, dan Papa Berry yang berada di lapangan turut menyiarkan secara langsung bagaimana penguatkuasa menceroboh kediaman dan memecah tingkap rumah.
Sebelum ini, pemilik rumah di Kampung Sungai Baru berikrar melawan habis-habisan mempertahankan tanah rezab Melayu tersebut yang mencecah nilai hartanah puluhan juta ringgit.
Sejak 8 September, penduduk mengadakan majlis solat hajat pada setiap malam bagi membantah tindakan kerajaan meneruskan pengosongan walaupun penduduk memfailkan saman mahkamah.
Penduduk turut mendakwa pihak pemaju cuba mencetuskan kekacauan dengan mengupah kumpulan tertentu menyusup masuk ke program bantahan dan menyamar sebagai penduduk.
Mereka turut membuat laporan polis mengenai sebuah pesanan WhatsApp yang tular, yang menawarkan bayaran RM100 kepada mana-mana individu kononnya bagi meramaikan bantahan pembangunan pada 11 September.
Bantahan penduduk terhadap pembangunan semula Kampung Sungai Baru bermula selepas kerajaan mewartakan pengambilan tanah pada 21 Jun 2021 di bawah Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT).
Pewartaan itu melibatkan 410 unit kediaman termasuk 37 rumah teres, 72 unit flat dan selebihnya pangsapuri dengan anggaran lebih 2,000 penduduk yang terkesan.
Penduduk sebelum ini menampilkan dokumen dikeluarkan pada 1932 oleh Residen Selangor, yang jelas mengenal pasti Kampung Sungai Baru sebagai sebahagian daripada Tanah Pertanian Melayu atau MAS, status di bawah pentadbiran kolonial British yang memberikannya perlindungan dan syarat ketat daripada sebarang pengambil alihan tanah.
Mereka juga menolak tawaran pemaju kerana menganggap pampasan terlalu rendah berbanding nilai pasaran sebenar di tengah bandar raya Kuala Lumpur dan hanya beberapa minit perjalanan dari Segitiga Emas dan KLCC dengan nilai hartanah yang melebihi RM1,000 setiap kaki persegi.
Sebelum ini, peguam mewakili penduduk, N Surendran menggesa pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengakui kesilapan dalam menggunakan APT, sebaliknya menggunakan kuasanya untuk memberikan "tawaran baru dan lebih adil".
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
