- Iklan -
Berita

3 syarikat dinamakan Loke untuk bersaing dengan Puspakom timbulkan persoalan

Ia melibatkan status kewangan di samping pengalaman dalam sektor pemeriksaan kenderaan.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Memecah monopoli Puspakom merupakan antara keutamaan Anthony Loke, bagaimanapun pelantikan tiga syarikat untuk bersaing dengan firma pemeriksaan kenderaan itu menimbulkan persoalan.
Memecah monopoli Puspakom merupakan antara keutamaan Anthony Loke, bagaimanapun pelantikan tiga syarikat untuk bersaing dengan firma pemeriksaan kenderaan itu menimbulkan persoalan.

Beberapa persoalan timbul berhubung syarikat-syarikat yang dilantik kerajaan bagi bersaing dengan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), di sebalik pelbagai kritikan Menteri Pengangkutan Anthony Loke terhadap monopoli syarikat milik taikun Syed Mokhtar Al Bukhary itu.

Fasa pertama menamatkan monopoli Puspakom, iaitu antara pengumuman awal Loke selepas kembali ke Kementerian Pengangkutan, membabitkan syarikat Wawasan Bintang Sdn Bhd yang beroperasi di Pelabuhan Klang, Selangor; Gua Musang, Kelantan dan Mersing, Johor.

Dua lagi syarikat ialah Pakatan Petroleum Sdn Bhd yang akan beroperasi di Rawang, Selangor dan Temerloh, Pahang; dan Beriman Gold Sdn Bhd yang akan beroperasi di Kuching dan Serian, Sarawak.

Carian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati Wawasan Bintang Sdn Bhd ditubuhkan hanya pada Jun tahun lepas, dan tiada ringkasan maklumat kewangan syarikat diterbitkan dalam maklumat syarikat itu di SSM.

Ia dimiliki individu bernama Marwiyah Marwi, Noriah Mohd Said, dan Idris Mohd Noh. Marwiyah dan Noriah masing-masing dengan pegangan tujuh juta saham manakala Idris dengan pegangan enam juta saham. 

Ia mengundang kritikan seorang bekas pemimpin Pemuda PAS, yang mengingatkan Loke akan janjinya untuk melantik syarikat yang ada kewangan yang kukuh. 

"Syarikat baru lapan bulan, mana ada submit financial statement dan audit report?" soal Nurul Islam Mohamed Yusoff, yang juga bekas ketua pegawai eksekutif Majlis Getah Malaysia.

Menurut Nurul Islam, walaupun jenis perniagaan dalam dokumen SSM dinyatakan sebagai "pemeriksaan kenderaan bermotor", syarikat itu dikhuatiri tiada pengalaman dalam bidang automotif. 

Beliau turut mempersoalkan bagaimana sebuah syarikat yang ditubuhkan pada Jun 2024 dapat turut serta dalam proses pelawaan yang dibuka sebelum itu, iaitu pada suku pertama 2024 seperti diumumkan Loke.

Puspakom yang merupakan antara empayar perniagaan Syed Mokhtar Al-Bukhary menjadi sasaran kritikan Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Puspakom yang merupakan antara empayar perniagaan Syed Mokhtar Al-Bukhary menjadi sasaran kritikan Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Nurul Islam yang bersetuju dengan langkah menghapuskan monopoli Puspakom menggesa Loke memberi penjelasan.

MalaysiaNow sedang cuba menghubungi ketiga-tiga syarikat tersebut.

Loke sebelum ini berkata syarikat akan dipilih berdasarkan beberapa kriteria termasuk kedudukan kewangan kukuh dengan modal berbayar RM10 juta, berstatus sendirian berhad dan mempunyai pemilikan tempatan.

'Perniagaan petroleum, kontrak pembinaan'

Sementara itu, carian mendapati Pakatan Petroleum ditubuhkan pada 1984 dan menjalankan perniagaan dalam petroleum, gas serta produk-produk berkaitan. 

Syarikat tersebut dimiliki Bijak Restu Sdn Bhd dengan pegangan 10,000,000 saham. 

Bijak Restu dimiliki Mohamed Zainal Abidin Abdul Kadir dengan pegangan 455,000 saham dan Mohamed Zain Mohamed Zainal Abidin yang memegang 45,000 saham.

Manakala Beriman Gold, syarikat ketiga yang dipilih, ditubuhkan pada 2014, namun aktiviti perniagaan yang disenaraikan ialah pembinaan kontrak, telekomunikasi dan multimedia, serta pembekal sistem keselamatan dan barangan IT.

Syarikat tersebut dimiliki Razali Pudin dan Olingga Anak Jambing, masing-masing dengan 9,000,000 dan 1,000,000 pegangan saham.

Seorang pemerhati automotif bagaimanapun mempertahankan pelantikan tiga syarikat tersebut.

Chips Yap berkata tidak salah bagi syarikat-syarikat itu mempelbagaikan aktiviti perniagaan mereka walaupun tidak memiliki pengalaman sektor pemeriksaan kereta.

"Saya pasti Kementerian Pengangkutan meneliti latar belakang kewangan dan keupayaan perniagaan mereka dan ingin memberi mereka peluang untuk mencuba. Apabila mereka mula beroperasi, saya pasti mereka akan dipantau untuk memastikan kerja dilakukan dengan betul," kata Yap, yang merupakan editor portal berita MotaAuto.

Ketika dihubungi, Puspakom berkata pihaknya mengalu-alukan tiga pemain baharu itu, sambil menambah tanggungjawab keselamatan jalan raya kini dipikul bersama.

"Secara positif, dengan kehadiran pengendali baharu ini, kami boleh memikul tanggungjawab bersama dalam memastikan keselamatan kenderaan dan bertukar idea untuk sama-sama meningkatkan kualiti pemeriksaan kenderaan di Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman dalam satu kenyataan.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan hasrat untuk menamatkan monopoli tiga dekad Puspakom dalam menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan, dengan matlamat memperkenalkan persaingan dan menambah baik kualiti pemeriksaan kenderaan.

Puspakom dilantik sejak 1994 sebagai pemeriksa kenderaan tunggal dan menerima lanjutan konsesi selama 15 tahun pada 2009.

Lebih 10 syarikat dilaporkan telah memohon lesen penyedia perkhidmatan tersebut, antaranya Naza Group, Sime Darby Bhd, dan UMW Holdings Bhd, kesemuanya mempunyai pengalaman dalam industri kenderaan.