- Iklan -
Berita

Mahkamah benarkan dua kes Yusoff Rawther dibicarakan serentak pada April

Kedua-dua pertuduhan dadah dan pistol tiruan membabitkan bekas pembantu Anwar itu akan berjalan serentak.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Yusoff Rawther ketika dibawa ke mahkamah pada 12 November, 2024.
Yusoff Rawther ketika dibawa ke mahkamah pada 12 November, 2024.

Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan pendakwa raya untuk menggabungkan perbicaraan dua pertuduhan membabitkan bekas pembantu Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther. 

Hakim Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan tersebut selepas pengurusan kes dadah Yusoff dan menetapkan 7 hingga 11 April untuk perbicaraan. 

Dua kes itu membabitkan dadah dan pistol tiruan yang menurut polis ditemui dalam kenderaan milik Yusoff di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Bukit Kiara, Kuala Lumpur, pada 6 September tahun lepas.

Peguam Yusoff, Rafique Rashid berkata pihaknya tidak membantah permohonan pendakwa raya untuk menggabungkan dua kes tersebut.

"Kita akan kembali ke mahkamah pada 11 April untuk mendapatkan dokumen penuh terkait dengan senjata api.

"Kita tak membantah permohonan menggabung kes sebab ia berlaku pada hari yang sama, waktu yang sama, kenderaan yang sama. Kita hendak percepatkan kes ini," katanya ketika ditemui media.

Yusoff berdepan tuduhan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 36 Akta Senjata Api.

Kes itu mendapat perhatian selepas timbul pelbagai tanda tanya mengenai cara Yusoff diserbu dan ditangkap sekumpulan anggota polis pada September tahun lalu.

Tangkapan itu dibuat seminggu selepas Yusoff memfailkan senarai saksi dalam samannya terhadap Anwar, yang bakal dibicarakan pada 16 Jun ini.

Yusoff dan ahli keluarganya telah membuat dua laporan polis dengan menamakan beberapa individu terkenal yang perlu disiasat. Polis masih belum membuat sebarang kenyataan mengenai status laporan itu.

Yusoff, yang juga cucu aktivis pengguna terkenal Pulau Pinang, Allahyarham SM Idris, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan memiliki dua pucuk pistol dan 305g ganja di dalam keretanya seperti didakwa polis.

Yusoff pernah bertugas sebagai bekas pembantu penyelidik Anwar di sebuah pejabat bungalow di Petaling Jaya pada 2018. 

Tidak lama selepas itu, dia membuat laporan polis mendakwa presiden PKR itu secara seksual pada Oktober 2018, beberapa hari sebelum Pilihan Raya Kecil Port Dickson yang menyaksikan Anwar kembali ke Dewan Rakyat empat tahun selepas disabitkan kesalahan liwat.

Pada Julai 2021, Yusoff memfailkan saman sivil terhadap Anwar.