- Iklan -
Berita

'Lupakah janji Anwar dulu?' Sepupu Siti Nurhaliza perjuang isu Kg Baru ingatkan menteri

Tanah itu simbol kuasa, kata Rafidah Ibrahim, pelakon dan pempengaruh media sosial yang paling lantang membantah pengambilan tanah Melayu di Kampung Baru.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Rafidah Ibrahim antara yang paling lantang memperjuangkan isu pengambilan tanah penduduk flat di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Rafidah Ibrahim antara yang paling lantang memperjuangkan isu pengambilan tanah penduduk flat di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Seorang pelakon yang menjadi antara yang paling lantang membantah rancangan pembangunan di Kampung Baru mempersoalkan menteri Dr Zaliha Mustafa yang mempertahankan projek itu dengan memberikan alasan lunas undang-undang.

Zaliha, menteri yang bertanggungjawab hal ehwal Wilayah Persekutuan, sebelum ini menyifatkan aduan mereka yang membantahnya sebagai tidak berasas dari segi perundangan, di samping 68% penduduk sudah bersetuju melepaskan tanah milik mereka.

Bagi Rafidah Ibrahim, kenyataan Zaliha itu mengelirukan, seolah-olah sesuatu projek boleh diteruskan jika majoriti penduduk bersetuju. 

"Jika perlu dibawa ke mahkamah, bawalah perkara ini ke mahkamah. 

"Siapa menteri ini untuk melucutkan hak pemilik, adakah dia punyai kuasa melebihi mahkamah? Bukankah Akta Pengambilan Tanah itu akan berlaku setelah mahkamah telah buat keputusan?" kata pelakon dan bekas pengacara TV itu yang juga merupakan sepupu kepada penyanyi terkenal Siti Nurhaliza.

Rafidah mengingatkan janji yang pernah dibuat oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim sewaktu menjadi pembangkang pada 2012, iaitu membatalkan serta-merta Akta Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2011 jika menjadi kerajaan pada pilihan raya umum 2013. 

"Saya lebih suka jika menteri wilayah komen tentang ucapan dan janji presiden PKR pada tahun 2012 dan kini perdana menteri. 

"Bukankah perbuatan menteri wilayah melawan perjuangan perdana menteri?" kata Rafidah kepada MalaysiaNow.

Anak kelahiran Kampung Baru berusia 38 tahun itu mempunyai pengikut berjumlah kira-kira sejuta orang merentas beberapa platform media sosial seperti TikTok, YouTube dan Instagram, dan kerap memuat naik video membantah rancangan membangunkan Kampung Sungai Baru, sebuah kawasan flat di Kampung Baru.

Katanya kerajaan cuba menggunakan Akta Pengambilan Tanah untuk mengelirukan penduduk.

Walaupun masih dikenali sebagai 'kampung', nilai sebenar hartanah di Kampung Baru yang dihimpit pencakar langit adalah antara yang tertinggi di Malaysia.
Walaupun masih dikenali sebagai 'kampung', nilai sebenar hartanah di Kampung Baru yang dihimpit pencakar langit adalah antara yang tertinggi di Malaysia.

Beliau berpendapat jika sesuatu tanah hendak diambil oleh kerajaan, ia perlu mendapatkan persetujuan 100% daripada pemilik tanah.

Menurutnya, penduduk yang tidak bersetuju dengan pembangunan kondominium di situ masih menunggu panggilan wakil kerajaan yang dikatakan sehingga hari ini tidak menghubungi mereka untuk perbincangan lanjut. 

Rafidah berkata isu dihadapi penduduk Kampung Baru - antara kawasan milik orang Melayu yang paling tinggi nilai tanahnya di Lembah Klang - bukan sekadar isu pembinaan dan pembangunan, sebaliknya melibatkan tanah orang Melayu yang menjadi simbol kuasa.

"Kita jual tanah bermaksud kita menjual kuasa kita sebagai orang Melayu." 

Terdahulu, MalaysiaNow melaporkan kira-kira 10 keluarga yang masih tinggal di flat Kampung Sungai Baru, menjalani kehidupan dalam kebimbangan mengenai masa depan yang tidak menentu. 

Mereka juga tidak bersetuju dengan jumlah pampasan yang ditawarkan menganggap ianya tidak selari dengan harga pasaran. 

Walaupun dikenali sebagai "kampung", nilai hartanah di kawasan ini antara yang tertinggi di Malaysia, memandangkan ia hanya beberapa minit perjalanan dari Segitiga Emas dan KLCC, antara kawasan yang paling pesat dan moden di Kuala Lumpur dengan nilai hartanah yang melebihi RM1,000 setiap kaki persegi.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.