- Iklan -
Berita

AS terus bantu Israel, apa yang berubah, BDS soal Anwar

Dakwaan perdana menteri wujud perubahan pendirian oleh Washington dalam soal Palestin ditepis pergerakan global boikot Israel.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
BDS Malaysia mempersoalkan Anwar Ibrahim yang mengalu-alukan 'perubahan positif' pendirian Amerika Syarikat terhadap Israel, sedangkan negara Zionis itu terus dibekalkan senjata.
BDS Malaysia mempersoalkan Anwar Ibrahim yang mengalu-alukan 'perubahan positif' pendirian Amerika Syarikat terhadap Israel, sedangkan negara Zionis itu terus dibekalkan senjata.

Pergerakan global memulau Israel Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) membidas kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang menganggap Amerika Syarikat semakin berubah dalam polisinya terhadap konflik di Palestin, sebaliknya berkata Washington terus membekalkan senjata kepada Israel.

Presiden BDS Malaysia Nazari Ismail memberi contoh pengeboman Israel di sebuah sekolah kendalian Agensi Bantuan dan Kerja PBB, atau UNRWA, yang mengakibatkan lebih 40 orang awam Palestin terkorban.

"Pengeboman juga berlaku di tempat lain di Gaza yang membunuh puluhan warga Palestin dalam masa sehari sahaja," kata Nazari kepada MalaysiaNow.

Minggu lalu ketika berucap di forum Meja Bulat Asia Pasifik ke-37, Anwar berkata terdapat "perkembangan positif" dalam pendirian Presiden Joe Biden, malah menyifatkan ia tanda-tanda awal perubahan pendekatan oleh Washington terhadap konflik tersebut.

Ucapan itu dibuat pada hari sama Israel mengebom sekolah UNRWA yang menempatkan ribuan pelarian.

Nazari Ismail
Nazari Ismail

Nazari berkata pada hakikatnya AS masih membantu Israel melakukan genosid ke atas Gaza sejak Oktober tahun lalu.

"Bahkan Amerika juga baru-baru ini mengutuk Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana memohon waran tangkap ke atas perdana menteri Israel.

"Jadi saya tak nampak ada perbezaan dalam polisi Amerika terhadap Israel," tegasnya.

Pada Mei, Washington mengecam ICC kerana mengeluarkan waran tangkap kepada Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan Israel, Yoavav Gallant

Sebelum ini, media melaporkan Biden berkata beliau telah menyekat penghantaran senjata ke Israel pada April kerana khuatir Israel akan menggunakannya untuk serangan di Rafah, tetapi pada masa sama berkata beliau meluluskan penghantaran senjata lain.

Bulan lalu, AS mengumumkan akan membekalkan negara Zionis itu dengan lebih AS$1 bilion senjata baharu.

Menurut laporan AP, penghantaran itu termasuk peluru tangki bernilai AS$700 juta dan kenderaan taktikal bernilai AS$500 juta.

Pentadbiran Anwar kini berdepan kecaman ekoran keputusan Putrajaya melibatkan sebuah syarikat milik BlackRock, firma pelaburan global AS yang terpalit kontroversi, dalam sebuah konsortium bersama kerajaan untuk menguruskan lapangan terbang Malaysia.

Menurut rancangan diumumkan bulan lepas, Global Infrastructure Partners (GIP) yang dimiliki BlackRock akan mengambil alih 30% kepentingan dalam konsortium itu, langkah yang mengundang protes disebabkan reputasi BlackRock sebagai syarikat yang mempunyai hubungan rapat dengan ekonomi dan industri pertahanan Israel.

Anwar telah menolak bantahan terhadap rancangan itu, sebaliknya menuduh pihak pembangkang "menghasut" terhadap kerajaan.

Anwar sebelum ini turut menolak bantahan terhadap keputusan kerajaan membenarkan syarikat pertahanan AS yang berdepan tuduhan bersubahat dalam jenayah perang Israel untuk menyertai pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Negara Asia (Natsec) di Kuala Lumpur.

Pameran tersebut turut disertai Lockheed Martin, yang mana BlackRock mempunyai 7.4% kepentingan.

Dalam laman web rasminya, Lockheed Martin berkata ia "bangga" dalam peranannya mempertahankan keselamatan Israel.