- Iklan -
Berita

Hannah Yeoh diminta letak jawatan, SPRM pula anggap 'tiada konflik' syarikat suami terima projek

Bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang berkata Hannah Yeoh seharusnya tidak terjebak 'amalan kronisme dan pilih kasih'.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Hannah Yeoh dan suami Ramachandran Muniandy.
Hannah Yeoh dan suami Ramachandran Muniandy.

Bekas orang kuat DAP Pulau Pinang P Ramasamy meningkatkan tekanan ke atas Hannah Yeoh selepas menteri belia dan sukan itu dihujani kritikan berhubung keputusan kerajaan Selangor menganugerahkan kontrak kepada syarikat suaminya tanpa melalui proses tender terbuka.

Ia berlaku ketika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempertahankan Asia Mobility Technologies Sdn Bhd, sebuah syarikat diasaskan suami Yeoh, Ramachandran Muniandy dan pengasas portal pro-Pakatan Harapan Malaysiakini, Premesh Chandran.

"Saya tidak mengetahui lanjut mengenai kes itu tetapi apa yang ingin saya katakan, sekiranya satu kontrak yang tiada kena mengena dengan tugas (pihak yang dibangkitkan) ia bukanlah satu kesalahan," kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dipetik Berita Harian.

"Saya tidak nampak ia mempunyai kaitan antara kerajaan Selangor dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tetapi ia berlainan sekiranya KBS yang memberi kontrak itu kepada syarikat berkenaan."

Asia Mobility adalah salah satu daripada dua syarikat dilantik kerajaan Selangor pimpinan PH untuk menyediakan perkhidmatan transit responsif atas permintaan (DRT) di empat daerah di bawah program Mobiliti Selangor.

Kaitan Yeoh dengan Asia Mobility dilihat sebagai episod terbaru dalam siri pelantikan PH di peringkat negeri dan persekutuan yang didakwa berlaku amalan kronisme.

Ramasamy, yang merupakan timbalan ketua menteri Pulau Pinang selama 15 tahun di bawah kerajaan negeri DAP, berkata sama ada Yeoh atau suaminya harus meletak jawatan masing-masing.

"Supaya tidak dimalukan, sama ada Yeoh mesti meletak jawatan sebagai menteri atau Ramachandran mengundur diri daripada syarikat itu," katanya.

Apa yang menjadi perhatian ialah bukan sahaja kaitan politik PH, tetapi kontrak itu juga diberikan tanpa melalui proses tender terbuka seperti yang selalu diperjuangkan gabungan itu.

Ramasamy berkata beliau tidak menyentuh soal kecekapan Asia Mobility.

“Persoalannya ialah bagaimana projek itu boleh dianugerahkan melalui rundingan terus sedangkan orang utama atau CEO kebetulan adalah suami kepada Yeoh.

"Yeoh ialah pemimpin kanan DAP, sebuah parti yang menyokong tender terbuka dan ketelusan dalam pemberian projek kerajaan," kata Ramasamy.

Beliau berkata sebagai menteri persekutuan, Yeoh seharusnya tidak terjebak "amalan kronisme dan pilih kasih".

"Jika sekalipun jawatankuasa pemilihan tidak mengetahui hubungan keluarga Yeoh dan Ramachandran, Yeoh sepatutnya lebih tahu dalam menasihati suaminya. Dia harus menasihatinya supaya tidak terlibat dalam projek itu sejak awal."

Ramasamy juga mempersoalkan Premesh kerana cuba mempertahankan penganugerahan kontrak kepada syarikatnya.

Beliau mengingatkan Premesh bahawa Yeoh, melalui suaminya, mempunyai kepentingan dalam sebuah syarikat yang dianugerahkan projek kerajaan.

“Saya pasti Premesh tidak boleh menolak fakta ini, iaitu perkara yang memalukan kerajaan Madani di peringkat persekutuan dan negeri.

“Apa pun hujah menyokong keputusan projek itu diberikan kepada Asia Mobility, ia tidak dapat dipertahankan dari segi politik.

“Sama ada Yeoh perlu melepaskan jawatannya sebagai menteri atau syarikat tidak sepatutnya menerima penganugerahan projek itu.

"Atau, alternatifnya, Ramachandran meletak jawatan daripada syarikat itu," tambahnya.