- Iklan -
Berita

Daripada tuntut mesyuarat tergempar MKN kepada kempen 'RM10', DAP pamer sokongan terbuka untuk KK Mart

Pemimpin DAP dilihat tidak lagi mahu berdiam diri selepas Pemuda Umno teruskan isu KK Mart.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang pegawai DAP melancarkan kempen solidariti untuk KK Mart, menggesa orang ramai membelanjakan sekurang-kurangnya RM10 di rangkaian runcit bagi melawan protes berkait stokin 'Allah'.
Seorang pegawai DAP melancarkan kempen solidariti untuk KK Mart, menggesa orang ramai membelanjakan sekurang-kurangnya RM10 di rangkaian runcit bagi melawan protes berkait stokin 'Allah'.

Pemimpin Pakatan Harapan mula secara terbuka mempertahankan KK Mart, walaupun kontroversi stokin yang melanda rantaian kedai runcit itu dilihat beransur reda selepas pendirian PAS yang enggan menyertai kempen boikot dilancarkan Pemuda Umno.

DAP paling ke depan dalam membela syarikat itu berikutan tiga serangan ke atas cawangan KK Mart, yang dilihat ada kaitan dengan kemarahan terhadap penjualan stokin yang tertera perkataan "Allah".

Parti berasaskan Cina yang selama ini cuba mengelak daripada konfrontasi terbuka dalam isu KK Mart itu mula bersikap lantang selepas Pemuda PKR melancarkan serangan ke atas Pemuda Umno, menuduh mereka "lempar batu sembunyi tangan" di sebalik "suhu api ketegangan" yang meningkat.

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, pemimpin DAP menuntut pelbagai tindakan, daripada mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada pelancaran kempen solidariti untuk membantu KK Mart.

Semalam, Pengerusi DAP Lim Guan Eng membidas Umno sambil menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memanggil mesyuarat tergempar MKN, dengan mengatakan kerajaan
perlu "mengelakkan sebarang tindakan yang menyemarakkan lagi api kemarahan menjadi lebih berbahaya di luar kawalan".

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng turut sama menggesa campur tangan Putrajaya.

"Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan keganasan ini dan memohon agar Kabinet mengambil tindakan serius untuk menghentikan kejadian serupa daripada berterusan."

Siri kenyataan pemimpin utama DAP dalam mempertahankan KK Mart dilihat menguatkan persepsi bahawa parti itu tidak bertolak ansur terhadap sebarang tindakan yang menjejaskan perniagaan milik masyarakat Cina, yang menjadi penyokong setia parti itu pada setiap pilihan raya.

'Belanja RM10 di KK Mart, perangi ekstremisme'

Sementara itu, seorang pegawai kepada ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen menyeru orang ramai untuk menyokong KK Mart berikutan serangan Molotov ke atas sebuah cawangan di Kuching hujung minggu lalu.

DAP_GuanEng_LimLipEng_SooTienRen

Dalam video yang dimuat naik di Facebook, Soo Tien Ren menyeru orang ramai membelanjakan sekurang-kurangnya RM10 di kedai itu dan melancarkan kempen dalam talian dengan hashtag #lawanekstremis.

Dalam reaksinya, Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh mempersoalkan sikap memilih DAP dalam mempertahankan KK Mart sedangkan ia juga melancarkan boikot terhadap seorang selebriti Melayu susulan kli lagu Hari Raya yang menerima kecaman orang ramai.

"Nak tanya pada geng-geng DAP juga terutama Anthony Loke Siew Fook," kata Akmal, merujuk setiausaha agung DAP.

"Kita buat boikot pada Aliff Syukri juga apabila beliau keluarkan video lagu Raya yang tidak menjaga sensitiviti umat Islam. Jadi DAP takkan diam jer? Tak nak backup Aliff Syukti juga ke?

"Ke nak backup gang sendiri jer?"

Sementara itu, DAP turut menggunakan jurucakapnya yang beragama Islam, Sheikh Umar Bagharib Ali, dalam usaha menarik umat Islam untuk membantah Pemuda Umno menggunakan dalil.

Umar bagaimanapun mengambil kesempatan itu untuk menyerang PAS walaupun parti itu tidak menyertai kempen Umno.

Umar, yang merupakan ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, berkata Akmal tidak patut mencontohi Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang disifatkannya pelampau.

"Atas nama 'mempertahan kesucian agama', tanpa disedari pendekatan beliau boleh membenihkan ekstrimisme. Ini bukan apa yang diajarkan oleh Islam.," kata Umar.

Episod KK Mart mula mendapat perhatian selepas gambar stokin dengan perkataan "Allah" tular di media sosial, diikuti Akmal yang menuntut tindakan tegas terhadap pemilik rangkaian runcit itu.

Pada 16 Mac, pengurusan tertinggi syarikat itu menyatakan rasa kesal sambil memohon maaf secara terbuka atas kecuaian mereka memeriksa stokin daripada pembekal.

Selepas siasatan, pengasas KK Mart Chai Kee Kan, dan isterinya, yang juga pengarah syarikat, Loh Siew Mui, didakwa di bawah Kanun Keseksaan atas kesalahan menyinggung perasaan agama.

Ia tidak menghalang Pemuda Umno untuk terus menggerakkan penyokong mereka dan mengadakan bantahan di hadapan kedai KK Mart dan menyeru boikot.

Walaupun pemerhati melihat perkembangan itu sebagai taktik Umno memenangi semula sokongan Melayu-Islam yang hilang dalam siri kekalahan pilihan raya, kempen itu gagal mendapat sokongan kepimpinan PAS, yang dilihat penting dalam mengangkat isu-isu membabitkan umat Islam.

"PAS tidak ambil pendekatan untuk boikot," kata Ahmad Yahya, ketua Dewan Ulamak Pas Pusat yang dilihat paling berpengaruh dalam parti itu.

"Kalau melihat ucapan atau ulasan daripada pemimpin PAS, tiada seorang pun pemimpin kami yang minta memboikot KK Mart.

"Cuma pimpinan PAS mahu tindakan tegas dikenakan kepada orang yang bertanggungjawab. Kalau sudah ada tindakan, saya yakin isu ini akan reda," katanya.