- Iklan -
Berita

Zahid mahu Kementerian Wilayah Persekutuan diwujudkan semula

Timbalan perdana menteri berkata beliau bersedia menerima apa jua tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau berharap Kementerian Wilayah Persekutuan akan diwujudkan semula sekiranya berlaku rombakan Kabinet, memandangkan spekulasi berterusan mengenai perubahan di Putrajaya hampir setahun selepas pilihan raya umum pada 19 November tahun lepas. 

Zahid yang juga presiden Umno, memberi bayangan kepada pemberita di Putrajaya semalam bahawa rombakan Kabinet akan berlaku, memetik kekosongan dalam Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang ditinggalkan Allahyarham Salahuddin Ayub.

"Mesti ada (rombakan). Saya fikir dalam waktu terdekat," katanya seperti dilaporkan Bernama.

Ketika ditanya mengenai desas-desus bahawa beliau akan dilantik mengetuai Kementerian Dalam Negeri, Zahid berkata beliau sedia menerima apa jua tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.

Beliau juga berharap Kementerian Wilayah dan Persekutuan, yang disusun secara pentadbiran berikutan pilihan raya umum lalu, dapat diwujudkan semula.

“Sebenarnya kementerian mana pun saya pergi,” katanya.

“Saya bersedia sebab yang pentingnya Kabinet ini buat keputusan secara konsensus. 

"Biarpun saya memegang Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah tetapi pada waktu yang sama, perdana menteri letakkan saya menjadi pengerusi Jawatankuasa Kabinet, Jawatankuasa Peringkat Tinggi serta Pasukan Petugas yang melibatkan pelbagai kementerian dan saya lakukan perkara itu demi kepentingan kerajaan perpaduan yang ada.”

Kementerian Wilayah Persekutuan disusun semula sebagai sebuah jabatan pada Disember tahun lepas.

Kini dikenali sebagai Jabatan Wilayah Persekutuan, ia terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri.

Menteri terakhirnya ialah Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim, yang memegang portfolio itu dari 30 Ogos 2021 sehingga ia dimansuhkan.