- Iklan -
Berita

Jumlah mangsa banjir di Perlis dan Kedah meningkat

Jumlah mangsa yang dipindahkan di Sabah kekal tidak berubah.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Empat pusat pemindahan telah dibuka di Kedah. Gambar: Bernama
Empat pusat pemindahan telah dibuka di Kedah. Gambar: Bernama

Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah dan Perlis mencatat peningkatan manakala di Sabah, kekal setakat pagi ini.

Di Kedah, jumlah mangsa meningkat kepada 268 orang daripada 81 keluarga pada pagi ini berbanding 177 orang daripada 41 keluarga, malam tadi.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata dua PPS baharu dibuka di daerah Kota Setar melibatkan PPS Dewan Taman Seri Bagan dan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Aman.

Beliau berkata pembukaan dua PPS tersebut menjadikan empat pusat pemindahan telah dibuka di Kedah.

“Di Kota Setar, PPS Dewan Taman Seri Bagan dibuka pada 7 malam tadi menempatkan 40 orang daripada 14 keluarga manakala PPS SK Taman Aman yang dibuka pada 11 malam tadi menempatkan 40 orang daripada 12 keluarga,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Beliau berkata di Kubang Pasu, PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun yang dibuka Isnin lepas, menempatkan 150 orang daripada 43 keluarga manakala PPS Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang, Changlun yang dibuka semalam menempatkan 38 orang daripada 12 keluarga.

Di Perlis, jumlah mangsa banjir di Arau meningkat kepada 38 berbanding 18 orang daripada empat keluarga yang direkodkan petang semalam .

Pengarah APM Perlis Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Md Daud ketika dihubungi berkata semua mangsa berada di PPS Dewan SK Arau melibatkan 11 keluarga terdiri daripada 37 dewasa dan seorang bayi.

Sementara itu, di Sabah, jumlah mangsa banjir dari lima kampung di Beaufort masih kekal 134 orang daripada 46 keluarga setakat 8 pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan semua mangsa banjir ditempatkan di PPS Dewan Selagon yang dibuka sejak Ahad lepas susulan banjir berikutan hujan lebat masih berterusan.

“Kita masih terus membuat pemantauan di lokasi hotspot di daerah berkenaan,” katanya.