- Iklan -
Berita

'Lihat kami sebagai rakyat Malaysia', Adun PN disiasat beritahu Ayob Khan

Adun Taman Medan, Dr Afif Bahardin berkata Ayob Khan Mydin Pitchay seharusnya melihat dengan lebih mesra bahawa apa yang kami lakukan ialah menyuarakan suara rakyat.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Adun Taman Medan, Dr Afif Bahardin bercakap kepada pemberita selepas memberi keterangan kepada polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur hari ini, 18 September.
Adun Taman Medan, Dr Afif Bahardin bercakap kepada pemberita selepas memberi keterangan kepada polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur hari ini, 18 September.

Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay digesa untuk tidak menyekat suara ahli politik pembangkang untuk menyuarakan isu-isu rakyat. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan, Dr Afif Bahardin berkata, Ayob tidak lagi memimpin bahagian Anti Keganasan polis.

"Sekarang dia (Ayon) timbalan ketua polis negara. Dia perlu lihat kami sebagai sebahagian rakyat Malaysia yang mahu perubahan berlaku," katanya selepas memberi keterangan kepada polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur hari ini. 

Beliau antara sembilan yang dipanggil memberi keterangan hari ini atas penglibatan dalam himpunan “Selamatkan Malaysia” Sabtu lalu di ibu kota. 

Himpunan tersebut diadakan bagi membantah tindakan pendakwa raya memohon lepas tanpa bebas (DNAA) 47 kes Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi membabitkan dana Yayasan Akal Budi. 

Antara yang dipanggil ialah salah seorang penganjur himpunan, Tun Faisal Ismail Aziz dan Ketua Srikandi Bersatu Nurul Fazilah Kamarudin. 

Ayob sebelum ini berkata perhimpunan Selamatkan Malaysia melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012.

Katanya, ini kerana penganjur tidak memberi notis lima hari sebelum perhimpunan itu berlangsung, selain mengadakan himpunan di kawasan masjid. 

Menurut Afif, amat malang apabila wakil rakyat pembangkang dipanggil polis pada pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang memposisikan dirinya sebagai seorang reformis. 

Afif yang turut berucap semasa himpunan itu berkata, Ayob sebagai timbalan ketua polis pasti mengerti keresahan rakyat. 

"Beliau seharusnya melihat dengan lebih mesra bahawa apa yang kami lakukan ialah menyuarakan suara rakyat," katanya. 

Menurut Afif, penting untuk ahli politik pembangkang bersuara mengenai isu-isu nasional lain seperti harga barang yang semakin naik.