- Iklan -
Berita

GST tak sesuai diperkenal semula ketika ini, kata timbalan menteri

Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong berkata ketika ini ekonomi dunia mengalami keadaan yang agak perlahan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim. Gambar: Bernama
Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim. Gambar: Bernama

Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak sesuai diperkenalkan semula pada masa ini terutama ketika ekonomi dunia mengalami keadaan yang agak perlahan, kata Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong.

Beliau berkata kerajaan perlu meneliti pelaksanaan GST secara keseluruhan dan bukan sekadar mendengar cadangan daripada pihak tertentu.

"Mereka ada sebab tertentu untuk GST dilaksanakan. Contohnya golongan peniaga, mereka kata GST itu boleh dituntut semula tetapi kita meneliti bukan sahaja kepada satu atau dua golongan, kita lihat kepada keseluruhannya.

"Saya tidak kata cukai ini baik atau tidak baik tetapi (kini) bukan masa yang sesuai, terutama semasa kita sedang mengalami keadaan ekonomi yang agak perlahan di seluruh dunia, kos harga barang naik, (GST) belum sesuai untuk (dilaksanakan) masa kini," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan dialog sempena Jelajah Belanjawan 2024 Negeri Perak di Ipoh, pada Isnin.

Mengenai cadangan supaya GST dilaksanakan pada kadar lebih rendah berbanding sebelum ini, beliau berkata kerajaan mempunyai kaedah lain bagi menambah hasil negara selain pelaksanaan GST.

"Kita mempunyai cara lain, pengurusan fiskal lebih baik, sistem pencukaian lebih baik, pemerolehan lebih baik, pemerolehan kerajaan, kita mempunyai semua cara ini (termasuk) subsidi bersasar. Berlandaskan semua cara ini, kita boleh menguruskan fiskal kita tanpa perlu melaksanakan GST buat masa ini," katanya.

Terdahulu, media melaporkan Timbalan Menteri Kewangan I, Ahmad Maslan berkata beberapa pihak menyukai (pelaksanaan) GST termasuk Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), peniaga dan penganalisis ekonomi.

Sebelum ini beliau berdepan tentangan yang sangat hebat berkenaan GST, namun kini ramai pihak membantu memberi penjelasan justeru, penjelasan wajar terus diberikan, katanya menerusi kenyataan pada laman Facebook, The Ahmad Maslan.

Pada majlis yang sama, Menteri Besar Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri mengemukakan senarai sembilan projek berimpak tinggi yang dikenal pasti, dengan implikasi kewangan berjumlah RM138.67 bilion kepada Kementerian Kewangan sebelum jelajah itu berlangsung.

Beliau berkata senarai itu menjadi keutamaan kerajaan negeri kerana semua projek itu adalah tiang utama kepada pengukuhan pelan pembangunan negeri yang sedang dijalankan iaitu Pelan Perak Sejahtera 2030.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri telah meletakkan sektor kesihatan sebagai antara fokus dalam senarai keutamaan bagi permohonan projek kepada kerajaan Persekutuan dalam kerangka Belanjawan 2024 yang akan diumumkan, dengan permohonan projek sektor kesihatan berjumlah RM1.47 juta," katanya ketika berucap.