- Iklan -
Berita

Belum ada permohonan permit perhimpunan Selamatkan Malaysia, kata polis

Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid menegaskan bahawa ini diperlukan mengikut Akta Perhimpunan Aman.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Adun Gombak Setia Hilman Idham bersama Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari dan beberapa penyokong selepas memberi keterangan kepada polis mengenai perhimpunan 'Selamatkan Malaysia' di Kuala Lumpur, 13 September.
Adun Gombak Setia Hilman Idham bersama Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari dan beberapa penyokong selepas memberi keterangan kepada polis mengenai perhimpunan 'Selamatkan Malaysia' di Kuala Lumpur, 13 September.

Polis masih belum menerima sebarang permohonan berhubung penganjuran “Perhimpunan Selamatkan Malaysia” yang dirancang diadakan di ibu negara, Sabtu ini, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid.

Beliau berkata mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012, permohonan permit perlu dibuat sekurang-kurangnya lima hari sebelum tarikh ia diadakan dan kegagalan berbuat demikian adalah menyalahi undang-undang.

“Tempoh itu telah pun berakhir namun masih belum ada sebarang permohonan dibuat penganjur, " katanya pada sidang media Op Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur Fasa 2, di Kuala Lumpur, hari ini. 

Allaudeen berkata setakat ini, pihaknya menerima enam laporan polis berhubung perhimpunan anjuran Pemuda Perikatan Nasional (PN) itu dengan lima individu dirakam keterangan termasuk Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari dan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

"Tiga lagi ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia (Muhammad Hilman Idham) dan dua wartawan yang membuat liputan sewaktu sidang media Fadhli mengenai perhimpunan itu. Seorang lagi individu diminta hadir memberi keterangan untuk membantu siasatan polis," katanya.