- Iklan -
Berita

Bersih turut gesa kerajaan, polis benarkan perhimpunan bantah bebas Zahid

Badan pemantau pilihan raya berkata perhimpunan besar-besaran yang dianjurkannya pada masa lalu berjalan dengan aman dengan bantuan minimum daripada pihak polis.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Plakat yang memaparkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dilihat di luar Jabatan Peguam Negara ketika Muda dan Parti Sosialis Malaysia menyerahkan memorandum bantahan terhadap pembebasan mahkamah, salah satu daripada kenyataan membantah keputusan melepas tanpa membebaskan beliau pada 4 September.
Plakat yang memaparkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dilihat di luar Jabatan Peguam Negara ketika Muda dan Parti Sosialis Malaysia menyerahkan memorandum bantahan terhadap pembebasan mahkamah, salah satu daripada kenyataan membantah keputusan melepas tanpa membebaskan beliau pada 4 September.

Badan pemantau pilihan raya, Bersih hari ini menggesa kerajaan dan polis membenarkan demonstrasi "Selamatkan Malaysia" anjuran Perikatan Nasional (PN) yang dirancang pada 16 September ini, berikutan amaran tindakan oleh pihak berkuasa yang memanggil beberapa wakil rakyat daripada gabungan itu untuk disoal siasat setakat ini. 

Bersih berkata hak untuk berhimpun secara aman adalah sebahagian daripada sistem demokrasi yang berfungsi.

“Sebagaimana yang terbukti dalam banyak himpunan aman yang lepas, terutamanya Bersih 4 dan Bersih 5, himpunan berjalan dengan aman walaupun dengan bantuan minimum daripada pihak polis. 

“Kami menggesa pihak polis untuk melaksanakan tugas mereka secara profesional dengan menyediakan segala bantuan yang diperlukan kepada penganjur himpunan supaya dapat melunaskan hak demokrasi mereka,” kata Bersih dalam satu kenyataan hari ini. 

Perhimpunan "Selamatkan Malaysia" dianjurkan PN bagi membantah keputusan kontroversi peguam negara untuk menghentikan perbicaraan rasuah melibatkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid yang juga presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional (BN) berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi. 

Beliau dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) pada 4 September lalu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan hakim permohonan Jabatan Peguam Negara untuk menghentikan semua prosiding terhadapnya.

Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap penganjur perhimpunan itu, dengan berkata mereka mesti mematuhi keperluan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA). 

Katanya, mengikut Seksyen 9(1) APA, mana-mana pihak yang berhasrat mengadakan perhimpunan perlu memohon permit lima hari lebih awal.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia, Hilman Idham memaklumkan beliau dipanggil polis bagi memberikan keterangan berkaitan perhimpunan tersebut, gesaan yang disifatkannya sebagai taktik ugutan bertujuan menakutkan rakyat yang ingin mendesak pendakwaan semula Zahid.

Kumpulan hak asasi manusia, Lawyers for Liberty (LFL) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) adalah antara mereka yang mengecam amaran itu, dengan Suaram menyifatkan ia sebagai cubaan menyekat hak perlembagaan rakyat untuk berhimpun secara aman.

“Sebagai individu yang mengaku diri sebagai ‘reformis’, kerajaan sekarang sepatutnya lebih mengetahui baik buruk daripada meneruskan ugutan untuk menyekat hak berhimpun secara aman, terutamanya apabila ramai ahlinya mengalami sendiri amalan ini kerana menganjurkan atau mengambil bahagian dalam perhimpunan sewaktu menjadi pembangkang," kata Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy. 

Dalam pada itu, LFL mengingatkan kerajaan supaya tidak menggunakan APA, undang-undang yang digunakan oleh kerajaan BN sebelum ini terhadap penunjuk perasaan yang menurut pengkritik adalah tidak berperlembagaan. 

Bersih hari ini berkata polis bertanggungjawab untuk menegakkan Perlembagaan Persekutuan dengan membantu perhimpunan aman dengan memastikan keselamatan peserta dan kawalan trafik.

Ia turut memperbetulkan kenyataan Ayob bahawa penganjur perlu memohon permit daripada pihak berkuasa lima hari sebelum tarikh perhimpunan.

“Hal ini adalah tidak tepat memandangkan APA hanya memerlukan penganjur himpunan untuk memberi notis kepada pihak berkuasa dan bukannya memohon permit atau keizinan polis seperti waktu dulu,” katanya.

“Kami sekali lagi mengingatkan mereka yang berkuasa bahawa janji mereka kepada rakyat semasa PRU15 bahawa mereka mendapat undi daripada rakyat berdasarkan janji dan iltizam untuk menyemak dan menghapuskan akta-akta yang mendekam suara dan disalah guna untuk menghalang kebebasan bersuara. 

“Penjajaran gabungan politik tidak seharusnya mengenepikan janji tersebut kepada rakyat serta kami menggesa mereka menunaikan dan menegakkan janji tersebut.”