- Iklan -
Berita

Adun PN dipanggil polis, bidas intimidasi menjelang perhimpunan dakwa Zahid

Adun Gombak Setia Muhammad Hilman Idham berkata beliau dipanggil untuk memberikan keterangan mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Adun Gombak Setia Hilman Idham. Gambar: Facebook
Adun Gombak Setia Hilman Idham. Gambar: Facebook

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perikatan Nasional, Hilman Idham memaklumkan beliau dipanggil polis bagi memberikan keterangan berkaitan perhimpunan membantah keputusan kontroversi oleh peguam negara untuk menghentikan perbicaraan rasuah terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi di ibu negara, Sabtu ini.

Adun Gombak Setia itu dalam satu kenyataan berkata, beliau akan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada jam 11 pagi esok untuk memberikan keterangan itu.

“Saya telah dipanggil oleh pihak polis untuk memberikan keterangan di bawah Seksyen 112 KTJ (Kanun Tatacara Jenayah) berkait Himpunan Selamatkan Malaysia yang akan dianjurkan pada 16 September 2023 di Kuala Lumpur,” katanya.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap penganjur protes yang dirancang oleh PN pada 16 September, berkata mereka mesti mematuhi keperluan Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA).

Ayob Khan berkata mengikut Seksyen 9 (1) APA, mana-mana pihak yang berhasrat mengadakan perhimpunan perlu memohon permit lima hari lebih awal. 

Ketika ditanya mengenai perhimpunan yang diadakan tanpa permohonan yang diperlukan, beliau berkata tindakan akan diambil mengikut undang-undang sedia ada. 

Dalam pada itu, peguam hak asasi manusia memberi amaran kepada kerajaan dan polis supaya tidak menakut-nakutkan penganjur perhimpunan pada Hari Malaysia, Sabtu ini.

Lawyers for Liberty (LFL) juga mengingatkan kerajaan supaya tidak menggunakan APA, undang-undang yang digunakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini terhadap penunjuk perasaan yang menurut pengkritik adalah tidak berperlembagaan. 

Sementara itu, Hilman menegaskan tindakan menghalang penganjuran perhimpunan itu adalah suatu intimidasi bagi menakut-nakutkan rakyat yang mahu mendesak pendakwaan semula ke atas Zahid.

“Jelas, kerajaan ini layak digelar ‘Kerajaan ReforMATI’ kerana bersifat hipokrasi terhadap idealisme dan prinsip perjuangan mereka,” tegas beliau.