- Iklan -
Berita

SPRM mula soal siasat Jasmine Loo

Azam Baki berkata pegawainya telah mula menyoal bekas peguam 1MDB itu, yang kini berada di bawah tahanan polis.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Petugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pekarangan lobi SPRM semasa waktu rehat. Gambar: Bernama
Petugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pekarangan lobi SPRM semasa waktu rehat. Gambar: Bernama

Bekas peguam 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Jasmine Loo Ai Swan kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung rasuah serta aktiviti pengubahan wang haram, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Beliau berkata pegawai penyiasat SPRM telah mengambil keterangan Loo, yang kini dalam tahanan polis, sejak Isnin lepas (4 September) bagi siasatan kes berkenaan.

“Dia (Loo) dalam siasatan kami (SPRM), kami siasat beliau berkaitan rasuah dan pengubahan wang haram,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan di Sepang hari ini.

Pada Isnin lepas, Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata dua lukisan pelukis terkenal Pablo Picasso, jam tangan mewah serta kondominium mewah di London, Amerika Syarikat dan Switzerland, adalah antara aset yang dirampas daripada Loo.

Menurut Ayob Khan, aset dengan jumlah keseluruhan RM93.2 juta itu dipercayai diperoleh hasil daripada penyelewengan dana 1MDB. 

Polis juga merampas pelbagai barangan bernilai RM625,500 dari sebuah kondominium di Bukit Damansara yang dijadikan lokasi menyimpan aset yang diperoleh hasil penyelewengan dana 1MDB oleh Loo.

Loo ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 7 Julai lepas dan beliau menyatakan kesediaan untuk bekerjasama membantu siasatan polis dalam kes berkaitan 1MDB, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Azam berkata SPRM dan polis akan terus berusaha mendapatkan aset-aset daripada 1MDB sebaik dikenal pasti. 

“Setakat ini, itu adalah penemuan polis dan SPRM mengenai wang dan aset yang diterimanya (Loo). Polis dan SPRM sedang berusaha untuk mendapatkan semua aset dan wang itu,” katanya.

Ditanya adakah usaha menjejaki ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low semakin hampir selepas pihak berkuasa menahan Loo, Azam berkata: "Saya tidak pasti tetapi jika anda tanya pandangan saya...belum lagi." 

Mengenai siasatan terhadap pegawai polis yang disyaki merasuah ahli patologi dalam urusan ujian saringan air kencing di Johor, Azam berkata siasatan kes berkenaan sedang dijalankan dengan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), polis.

“Sekarang apa dilakukan IO ialah teliti setiap kenyataan daripada mereka yang ditahan, kita nak tengok apa kaitan dengan pihak memberi,” katanya.

Pada 30 Ogos lepas, Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengesahkan seorang pegawai kanan dan dua anggota polis ditahan SPRM di Muar, Johor berhubung kes berkenaan.