- Iklan -
Berita

Anwar perlu bertanggungjawab atas kerosakan sistem keadilan negara, kata Muhyiddin

Pengerusi PN itu berkata slogan reformasi institusi dan tata kelola yang sering dilaungkan Anwar Ibrahim hanyalah suatu pembohongan dan omongan kosong sahaja.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mesti mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kerosakan yang berlaku dalam sistem keadilan negara ketika ini, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin susulan pembebasan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.

Muhyiddin berkata, beliau percaya perkara ini berlaku adalah berpunca daripada kerakusan Anwar sendiri untuk kekal berkuasa. 

“Ia membuktikan sikap munafik beliau yang nyata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

“Slogan reformasi institusi dan tata kelola yang sering beliau dilaungkan hanyalah suatu pembohongan dan omongan kosong sahaja.”

Muhyiddin berkata, keputusan menggugurkan pertuduhan terhadap Zahid pastinya menggoncang keyakinan pelabur terhadap sistem keadilan di Malaysia. 

“Sudahlah seorang yang berhadapan tuduhan jenayah rasuah dilantik ke jawatan nombor dua tertinggi negara, malah pertuduhan ke atasnya juga digugurkan. 

“Malaysia telah menjadi ‘a rogue state’ atau negara penyangak,” tambahnya.

Tambah Muhyiddin, sudah tiba masanya rakyat menilai semula keabsahan kerajaan perpaduan ini yang sepatutnya mendukung kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan.

Semalam, Zahid yang berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan berpuluh juta ringgit milik Yayasan Akalbudi dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Penghakiman DNAA itu dibuat selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, yang dilantik bulan lepas untuk menggantikan Raja Rozela Raja Toran yang secara tiba-tiba mengumumkan untuk "bersara awal", memaklumkan hakim Collin Lawrence Sequerah mengenai permohonan Jabatan Peguam Negara untuk memberhentikan semua prosiding terhadap Zahid.

Dalam pada itu, Muhyiddin menyifatkan pengguguran pertuduhan ke atas Zahid selepas diarahkan membela diri merupakan titik hitam yang amat gelap dalam sistem keadilan negara.

“Yang peliknya pihak pendakwaan yang telah berjaya membuktikan kes prima facie memohon kepada mahkamah untuk menggugurkan pertuduhan. 

“Ini amatlah tidak munasabah. Adakah ini bermakna pihak pendakwaan mengakui bahawa bukti-bukti yang dikemukakan oleh mereka di mahkamah tidak boleh dipakai?” soal beliau.

“Atau ada arahan daripada pihak atasan bahawa kes ini mesti digugurkan walau dengan apa cara sekalipun.”