- Iklan -
Berita

MCA sokong gesaan pemimpin Umno supaya tarik balik slogan ‘Malaysian Malaysia’ ala DAP

Parti komponen BN itu berkata ini adalah perkara paling mudah untuk DAP lakukan ke arah merealisasikan 'impian Malaysian Malaysia' yang lebih bersatu untuk semua.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Pemimpin DAP pada majlis makan malam mengumpul dana di George Town, 16 Julai. Gambar: Bernama
Pemimpin DAP pada majlis makan malam mengumpul dana di George Town, 16 Julai. Gambar: Bernama

MCA menyokong gesaan seorang pemimpin Umno agar DAP menggugurkan tuntutan "Malaysian Malaysia", menggesa komponen Pakatan Harapan (PH) itu untuk menilai semula komitmennya yang antara lain menghapuskan sistem kuota Bumiputera berikutan hujah matlamat sedemikian menghalang parti itu daripada mendapat sokongan orang Melayu.

"Sekiranya Malaysian Malaysia adalah selari dengan janji DAP untuk menghapuskan kuota Bumiputera dan mengembalikan penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi, dan lain-lain, maka sudah sampai masa untuk DAP mengakui kesilapan mereka kepada seluruh rakyat," kata naib presiden MCA Ti Lian Ker dalam satu kenyataan hari ini.

"Ini adalah isyarat paling mudah bagi DAP terhadap pemulihan sebuah Malaysian Malaysia yang bersatu dan harmoni, yang merupakan impian seluruh rakyat Malaysia."

Isu itu dibangkitkan oleh Ahli Majlis Tertinggi Umno, Nur Jazlan Mohamed, ketika mempertahankan partinya bahawa pihak lain dalam kerajaan campuran juga perlu berubah jika mereka mahu diterima oleh orang Melayu.

“Sepanjang pemerhatian saya secara langsung dan tak langsung, ketika duduk bersembang dengan kawan-kawan serta ahli Umno sendiri, saya dapat rasakan orang Melayu sejak puluhan tahun lalu tak boleh masih trauma dengan sentimen negara sekular dan Malaysia Malaysian yang diperjuangkan oleh DAP,” kata Nur Jazlan dalam kiriman di Facebook pada Rabu.

“Bila saya bersembang dengan pengundi Melayu di Selangor (ketika pilihan raya negeri lepas) dan Johor (ketika berkempen), majoriti mereka cakap masih tak boleh nak terima dengan mudah cara politik DAP yang bagi mereka masih terikat dengan tanggapan parti itu adalah parti totok orang Cina.  

“Bila saya tanya kenapa selama ini orang Melayu boleh terima MCA dalam BN, mereka kata MCA tak ekstrem dan Umno jadi parti dominan dalam gabungan itu.

“Berbeza dengan DAP, mereka kata tak boleh terima agenda sekular dalam parti itu. Sebab memang bertentangan sama sekali dengan syariat Islam dan Melayu.”

Nur Jazlan juga berkata "tiada cara lain" untuk meyakinkan orang Melayu bahawa DAP kini berbeza daripada parti itu meninggalkan agendanya untuk sebuah negara sekular dan slogan Malaysian Malaysia dalam perlembagaannya. 

“Sebab dua agenda itulah yang jadi terus jadi trauma kepada orang Melayu dan buatkan mereka tak boleh terima perjuangan DAP,” katanya.

Ti berkata slogan Malaysian Malaysia pada asalnya digunakan oleh Lee Kuan Yew dan PAP dalam menentang kerajaan Perikatan di bawah perdana menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman, dengan merujuk kepada Perkara 153 perlembagaan mengenai keistimewaan yang diberikan kepada orang Melayu dan Bumiputera untuk menyertai perkhidmatan awam, pemberian biasiswa awam, kemasukan ke institusi pendidikan awam dan pemberian lesen perdagangan. 

Beliau berkata DAP menerima pakai agenda itu dalam beberapa deklarasi yang menyatakan komitmen parti tersebut terhadap cita-cita Malaysia yang bebas, demokratik dan sosialis, "berdasarkan prinsip kesaksamaan kaum, dan keadilan sosial dan ekonomi, dan diasaskan di atas institusi demokrasi berparlimen".

Beliau menyebut Deklarasi Setapak yang katanya turut menyatakan komitmen DAP untuk menghapuskan sistem kuota dan perbezaan antara Bumiputera dan bukan Bumiputera, serta pihak lain yang menuntut perkara seperti pemansuhan klasifikasi "sekolah kebangsaan" dan "sekolah jenis kebangsaan” dengan memberikan layanan yang sama rata kepada semua aliran pendidikan, dan kemasukan ke universiti berdasarkan merit kelayakan pendidikan asas sahaja.

"Hari ini, kesemuanya terbukti hanya propaganda DAP yang telah menghasut kebencian terhadap parti komponen Perikatan dan juga Barisan Nasional. Oleh itu, sudah tiba masa DAP menilai semula janji-janji mereka dan mengakui kesilapan mereka,” katanya.

"Adakah benar bahawa konsep Malaysian Malaysia, atau konsep DAP mengenai Malaysian Malaysia yang menyumbang kepada ketegangan kaum hari ini?

"Sekiranya konsep Malaysian Malaysia selari dengan perjuangan Perikatan dan wawasan Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, maka kami seharusnya mendidik dan menghuraikan konsep ini kepada semua rakyat di dalam konteks kepelbagaian budaya, bangsa dan negara."