- Iklan -
Berita

Bekas PM Thailand kemuka permohonan pengampunan diraja

Thaksin, ahli politik terkenal di Thailand, membuat kepulangan dramatik selepas hidup dalam buangan selama 15 tahun di luar negara untuk mengelakkan menjalani hukuman penjara.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Thailand Thaksin Shinawatra. Gambar: Reuters
Bekas perdana menteri Thailand Thaksin Shinawatra. Gambar: Reuters

Bekas perdana menteri Thailand Thaksin Shinawatra yang kini menjalani hukuman penjara lapan tahun telah mengemukakan permohonan pengampunan diraja, kata Menteri Kehakiman, Wissanu Krea-ngam.

Bagaimanapun beliau tidak memberikan maklumat lanjut sama ada permohonan itu ditulis oleh Thaksin atau keluarganya.

"Kami telah menerima (permintaan), selebihnya akan mengikut prosedur," katanya dipetik oleh Bangkok Post.

Beliau berkata tempoh proses itu bergantung kepada pertimbangan Raja.

Pegawai itu berkata proses itu mungkin mengambil masa antara satu hingga dua bulan, bergantung kepada jumlah dokumen yang dikemukakan.

Proses permohonan pengampunan di Thailand bermula dengan banduan mengemukakan permohonan kepada menteri kehakiman melalui jabatan pemulihan dan menteri kemudiannya memajukan permohonan itu kepada perdana menteri.Thaksin

Perdana menteri akan mengemukakan permohonan itu  kepada majlis privy untuk mendapatkan cadangan dan akhirnya akan diserahkan kepada Raja Maha Vajiralongkorn.

Thaksin, 74, kembali ke Thailand pada 22 Ogos selepas 15 tahun hidup dalam buangan. 

Pada hari yang sama, Mahkamah Agung menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun ke atas bekas perdana menteri itu atas tuduhan rasuah.

Pada hari pertama di wad perubatan di Penjara Reman Bangkok, beliau dimasukkan ke Police General Hospital kerana masalah kesihatan selepas mengadu sakit dada, darah tinggi, tahap oksigen dalam darah yang rendah dan insomnia.

Pegawai perubatan penjara berkata Thaksin memerlukan pemantauan rapi. Awal minggu ini, kumpulan anti-Thaksin membuat aduan kepada Jabatan Pemulihan yang menentang percubaan Thaksin untuk mendapatkan pengampunan diraja dengan alasan bahawa tidak sepatutnya ada pengampunan bagi kes rasuah kerana ia telah merosakkan tadbir urus dan reputasi negara dengan teruk.

Kepulangan Thaksin berlaku hanya beberapa jam sebelum Srettha Thavisin dari Parti Pheu Thai memenangi undi di Parlimen untuk menjadi perdana menteri Thailand.

Parti Pheu Thai yang disokong Thaksin telah membentuk kerajaan campuran dengan 11 parti lain, termasuk dua pesaing, Palang Pracharath Party (PPRP) dan United Thai Nation (UTN) yang ada hubungan dengan tentera.

Ini telah mencetuskan spekulasi bahawa perjanjian telah dibuat untuk mengurangkan hukuman penjara ke atas Thaksin.