- Iklan -
Berita

Mais kunci mulut selepas Fahmi Fadzil 'dibebaskan' berucap dalam masjid

Majlis Agama Islam Selangor tidak menjawab apabila ditanya sama ada ahli politik dibenarkan berceramah di masjid di Selangor selagi mereka tidak berkempen.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Fahmi Fadzil berucap di dalam masjid di Kuang, Selangor. Ketua penerangan PKR itu berkata beliau dijemput oleh masjid untuk menjelaskan insiden 'bercium pasangan gay' semasa konsert di Sepang pada 30 Julai.
Fahmi Fadzil berucap di dalam masjid di Kuang, Selangor. Ketua penerangan PKR itu berkata beliau dijemput oleh masjid untuk menjelaskan insiden 'bercium pasangan gay' semasa konsert di Sepang pada 30 Julai.

Pihak Majlis Agama Islam Selangor (Mais) enggan mengulas lanjut selepas isu Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil yang didakwa berkempen dalam satu masjid di Kundang, Rawang dianggap selesai.

Ini susulan pertanyaan mengenai sama ada ahli-ahli politik lain dibenarkan berucap di masjid di Selangor selagi mana tidak berkempen politik. 

"Setakat hari ini tiada komen daripada Mais," menurut komunikasi korporat Mais kepada MalaysiaNow.

Sebelum ini Pengerusi Mais Abdul Aziz Mohd Yusof memaklumkan siasatan badan itu mendapati Fahmi yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai tidak berkempen dalam masjid itu semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor baru-baru ini.

Sebaliknya, beliau memberi penjelasan mengenai isu aksi jelik kumpulan rock British, The 1975 yang mencetuskan kontroversi dalam satu festival di Sepang. 

Isu yang mendapat perhatian dunia itu terpalit kepada kerajaan yang kemudian membatalkan baki hari festival tersebut.

Pihak polis pada awal bulan lalu pula menyatakan ucapan pengarah komunikasi Pakatan Harapan itu tidak mempunyai unsur-unsur berkempen.

Fahmi turut disiasat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana disyaki menghina pihak berkuasa agama.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar Mais agar berterusan mengeluarkan arahan mengingatkan umat Islam agar tidak menjadikan masjid dan surau sebagai pentas ceramah dan kempen, khususnya semasa PRN yang lalu.

Di Selangor, individu yang menggunakan masjid untuk berpolitik disifatkan menghina, mengingkari dan melanggar titah Sultan dan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 12 (a) atau (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Di Selangor, hanya individu yang mempunyai tauliah oleh Mais dibenarkan berucap, mengajar dan menyampaikan syarahan di masjid.