- Iklan -
Berita

Jabatan Peguam Negara bantah permohonan Bersatu supaya 4 kerusi Parlimen di Sabah dikosongkan

Ia mengatakan bahawa keputusan itu tidak boleh dipersoalkan di mahkamah berdasarkan Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pejabat parti Bersatu di Selangor.
Pejabat parti Bersatu di Selangor.

Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan Bersatu untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman terhadap Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul dan empat ahli Parlimen di Sabah.

Bersatu telah memfailkan tindakan undang-undang memohon supaya Johari mengisytiharkan kerusi yang disandang oleh empat ahli Parlimen itu kosong.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly yang mewakili Jabatan Peguam Negara memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa permohonan Bersatu perlu ditolak kerana keputusan itu tidak tertakluk kepada semakan kehakiman menurut Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan.

“Undang-undang antilompat seperti yang dinyatakan dalam Perkara 49 Perlembagaan Persekutuan tidak tertakluk kepada semakan kehakiman kerana Perkara 63 Perlembagaan,” katanya ketika berhujah di hadapan Hakim Amarjeet Singh.

Perkara 63 menyatakan bahawa kesahan apa-apa prosiding di dalam mana-mana Majlis Parlimen atau dalam mana-mana jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan di dalam mahkamah. 

Permohonan semakan kehakiman itu difailkan oleh Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee dan Muhammad Suhaimi Yahya sebagai pegawai awam parti itu pada 17 April lepas.

Bersatu menamakan Johari dan empat Ahli Parlimen itu iaitu Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang) sebagai responden pertama hingga kelima.

Sementara itu, peguam Azhar Azizan Harun yang mewakili Kiandee dan Suhaimi berhujah bahawa permohonan semakan kehakiman itu perlu didengar kerana ia bukan suatu yang remeh dan menyusahkan.

“Speaker telah melampaui bidang kuasanya kerana beliau tidak mempunyai kuasa untuk mentafsir perlembagaan Bersatu atau membuat penentuan bila keanggotaan responden kedua hingga kelima dalam Bersatu terhenti.

“Penetapan speaker itu tidak rasional dan menyalahi undang-undang kerana ia menyalah tafsir peruntukan perlembagaan Bersatu dan sewajarnya adalah kesilapan undang-undang,” kata bekas Speaker Dewan Rakyat. 

Mahkamah menetapkan 16 November ini untuk keputusan permohonan itu.

Dalam permohonan itu, Bersatu memohon suatu perintah untuk membatalkan keputusan Johari melalui surat bertarikh 16 Januari lepas yang menyatakan responden kedua hingga kelima memberi penjelasan dan mengesahkan bahawa tiada berlakunya kekosongan kerusi Parlimen berkenaan berdasarkan tafsiran Perlembagaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Perlembagaan Bersatu.

Bersatu juga memohon satu deklarasi bahawa empat ahli Parlimen itu berhenti menjadi ahli Dewan Rakyat mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, selain perintah supaya Johari mengesahkan berlakunya kekosongan luar jangka bagi semua kerusi Parlimen berkenaan.