- Iklan -
Berita

Bersatu senaraikan ‘siri jenayah’ dalam skandal insurans Selangor

Parti itu menyenaraikan kesalahan berkenaan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan, dan mempersoalkan bagaimana firma yang dianugerahkan mengurus program Insan dikait dengan syarikat pemberi pinjaman wang berlesen.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi

Bersatu menggesa pihak berkuasa menyiasat bagaimana jutaan data peribadi penduduk Selangor digunakan tanpa persetujuan mereka untuk didaftarkan ke dalam skim insurans melalui syarikat swasta, menyifatkan pendedahan baru-baru ini sebagai "siri jenayah terbesar" di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan (FSA).

Biro Perlembagaan dan Undang-undang parti itu juga mempersoalkan cara data itu digunakan selepas ia diperoleh daripada Suruhanjaya Pilihan Raya, seperti yang diakui oleh Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berikutan kemarahan orang ramai selepas mengetahui nama mereka disenaraikan untuk Skim Insurans Hayat Selangor (Insan) oleh sebuat syarikat swasta yang dilantik menguruskan program tersebut. 

"Pelaksanaan skim itu sangat dicurigai dan penuh dengan tindakan menyalahi undang-undang," kata Sasha Lyna Abdul Latif, timbalan pengerusi Biro Perlembagaan dan Undang-undang Bersatu, dalam satu kenyataan hari ini. 

"Pihak berkuasa mesti menyiasat pelanggaran FSA yang jelas dan mengambil tindakan pendakwaan tidak kira siapa atau setinggi mana kedudukan mereka yang bertanggungjawab,” tambahnya.

Beliau mempersoalkan dakwaan Amirudin bahawa syarikat itu, Wavpay Fintech Holding Sdn Bhd, dimiliki oleh kerajaan Selangor walaupun negeri itu hanya mempunyai 49% kepentingan.

"Bagaimana sesiapa boleh yakin bahawa data itu tidak dikongsi untuk projek lain memandangkan gerbang pembayaran e-wallet juga diberikan kepada syarikat yang sama? 

“Dan juga didedahkan bahawa syarikat yang dianugerahkan projek bernilai RM 21.6 juta ini, juga mempunyai hubungan dengan syarikat pemberi pinjaman wang," katanya.

Terdahulu, semakan MalaysiaNow dengan Suruhanjaya Syarikat (SSM) menunjukkan 51% saham syarikat itu dimiliki oleh CT Frank Technology (M) Sdn Bhd, manakala 49% oleh Selangor E-Wallet Sdn Bhd, syarikat milik kerajaan negeri. 

Lebih mengejutkan ialah antara aktiviti utama syarikat tersebut adalah "pemberian pinjaman" dengan entri SSM juga menyatakan "aktiviti perkhidmatan kewangan lain kecuali insurans/takaful dan pembiayaan pencen".

Pemeriksaan lanjut terhadap pemilik mendedahkan pemegang saham yang merupakan individu beralamat di Pulau Pinang.

’Difikirkan kemudian’

Kebocoran data itu mula-mula disedari apabila penyokong Pakatan Harapan (PH) menyebarkan tangkap layar butiran peribadi pempengaruh media sosial pro-pembangkang, dalam usaha untuk menunjukkan mereka mendapat faedah daripada skim insurans kerajaan negeri.

Tindakan itu sebaliknya memakan diri apabila beberapa pempengaruh media sosial membuat laporan polis mengenai penggunaan data peribadi tanpa persetujuan mereka.

Kebimbangan itu tidak lama kemudian tersebar di media sosial mengenai bagaimana butiran peribadi mereka boleh digunakan, dengan ramai cuba menyemak sama ada mereka juga disenaraikan dalam skim Insan menggunakan laman sesawang insurans tersebut di www.programinsan.com.

Ketika kemarahan terhadap kebocoran data peribadi memuncak hingga menyebabkan laman sesawang itu tidak dapat diakses, namun ia kembali pulih semalam dengan mesej baru bahawa orang ramai kini boleh mengaktifkan polisi insurans percuma mereka melalui aplikasi atau pusat khidmat ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) masing-masing.

Amirudin sebelum ini menafikan dakwaan mengenai pelanggaran data tersebut, mengatakan polisi insurans masih perlu diaktifkan oleh pemegang polisi.

Ini susulan sijil sudah dikeluarkan kepada jutaan pengguna yang mengetahui polisi insurans diaktifkan lewat tahun lepas, dengan sebahagian daripadanya akan tamat tempoh.

“Ini jelas sesuatu yang difikirkan kemudian selepas laman sesawang dan sistemnya tidak dapat diakses apabila pelayar internet cuba menyemak sama ada mereka turut menjadi mangsa skandal ini.

"Kerajaan Selangor dan menteri besar mesti berhenti mengelak daripada isu utama dan memberi penjelasan yang jelas kepada persoalan yang berlegar terhadap skim insurans ini. Tidak boleh berdiam diri," kata Sasha.

Siri kesalahan jenayah

Sasha menyenaraikan beberapa contoh jenayah yang dilakukan di bawah FSA dalam episod itu, sambil menambah persoalan yang lebih besar ialah bagaimana syarikat insurans itu memperoleh butiran dan maklumat peribadi penduduk Selangor. 

Beliau berkata di bawah Seksyen 2 FSA, kontrak insurans dimeterai apabila polisi dikeluarkan sama ada kontrak rasmi sudah dikeluarkan atau tidak.

Beliau berkata Jadual 8 akta yang sama menyatakan bahawa keperluan pendedahan mesti dipatuhi sebelum mengambil kontrak insurans atau polisi kumpulan, termasuk nama penanggung insurans berlesen, hubungan penanggung insurans berlesen dengan orang yang menawarkan polisi, syarat-syarat polisi kumpulan dan premium yang dikenakan oleh penanggung insurans berlesen.

Sementara itu, Jadual 9 melarang penanggung insurans atau broker berlesen daripada membuat kenyataan yang mengelirukan, palsu atau menipu untuk mendorong seseorang mengambil kontrak insurans, tambahnya.

Beliau berkata FSA dengan jelas menyatakan bahawa orang yang membuat kontrak insurans mesti mengetahui dan menerima kontrak serta identiti syarikat insurans, jika gagal melakukan kesalahan yang boleh dikenakan penjara tidak melebihi lima tahun, denda RM10 juta atau kedua-duanya sekali.

“Memandangkan polisi itu sudah pun dikeluarkan kepada semua pengundi Selangor tanpa pengetahuan mereka, semua pendedahan pra-kontrak tidak dipatuhi dan ia juga dilakukan tanpa sebarang tawaran atau penerimaan kontrak insurans.

“Skim insurans itu tidak pernah diumumkan dan pemegang polisi tidak pernah diberi pilihan untuk ditawarkan skim insurans apatah lagi menerima tawaran itu.

"Ringkasnya, satu siri jenayah terbesar yang melanggar FSA dilakukan. Ini mengejutkan, kerana ia adalah inisiatif kerajaan negeri Selangor," kata Sasha.