- Iklan -
Berita

Mahkamah Persekutuan dengar permohonan Rosmah rayu batal kes rasuah solarnya pada 29 November

Isteri bekas perdana menteri Najib Razak cuba mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuannya untuk membatalkan perbicaraan hibrid solarnya.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Jalur Gemilang berkibar di luar Istana Kehakiman di Putrajaya yang menempatkan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Gambar: Bernama
Jalur Gemilang berkibar di luar Istana Kehakiman di Putrajaya yang menempatkan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Gambar: Bernama

Mahkamah Persekutuan menetapkan 29 November untuk mendengar permohonan Rosmah Mansor bagi mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan beliau untuk membatalkan perbicaraan kes hibrid solarnya.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, ketika dihubungi Bernama, mengesahkan tarikh itu.

Tarikh pendengaran itu ditetapkan susulan pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Faezahnoor Hassan hari ini. 

Pada 22 Julai lepas, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Rosmah, 72, atas alasan rayuan beliau tidak mempunyai merit.

Isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi pada Jun tahun lepas bagi memohon kebenaran memulakan semakan kehakiman. Beliau menamakan Peguam Negara/Pendakwa Raya, Kerajaan Malaysia dan (mendiang) Gopal Sri Ram sebagai responden. Sri Ram meninggal dunia pada 28 Januari lepas.

Rosmah memohon deklarasi bahawa pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan melalui tiga surat pelantikan (fiat) masing-masing bertarikh 8 Julai 2020, 11 dan 21 Mei 2021 adalah menyalahi undang-undang. 

Beliau turut memohon deklarasi bahawa keseluruhan prosiding pendakwaan dan perbicaraan penuh kes projek solar yang berlangsung dari 15 November 2018 sehingga pembelaan menutup kesnya adalah tidak sah serta batal dan beliau perlu dibebaskan daripada semua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Pada 30 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Rosmah dan beliau telah membawa perkara itu ke Mahkamah Rayuan namun turut ditolak. Beliau kemudian memfailkan permohonan pada 5 Julai lepas untuk mendapatkan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan. 

Menerusi permohonan itu, Rosmah meminta Mahkamah Persekutuan memutuskan lima persoalan undang-undang. 

Pada 1 September 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan bahawa Rosmah bersalah atas pertuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta. 

Rosmah kemudian memfailkan rayuan terhadap sabitan serta hukuman dan kini bebas dengan jaminan RM2 juta.