- Iklan -
Berita

Adun kerajaan, pembangkang akan terima peruntukan sama, kata MB Kelantan

Mohd Nassuruddin Daud berkata pihaknya akan berlaku adil kepada semua wakil rakyat sama ada daripada pembangkang kerana mereka dipilih rakyat

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud (kanan) menjawab pertanyaan pemberita selepas menyampaikan sumbangan pendahuluan kepada mangsa ribut di Masjid Mukim Kota di Kota Bharu, 20 Ogos. Gambar: Bernama
Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud (kanan) menjawab pertanyaan pemberita selepas menyampaikan sumbangan pendahuluan kepada mangsa ribut di Masjid Mukim Kota di Kota Bharu, 20 Ogos. Gambar: Bernama

Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud memberi jaminan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) negeri itu akan menerima peruntukan sama daripada kerajaan negeri.

Beliau berkata pihaknya akan berlaku adil kepada semua wakil rakyat sama ada daripada pembangkang kerana mereka dipilih rakyat. 

"Walaupun aliran politik berbagai-bagai, pilihan raya telah selesai, yang ada ialah wakil rakyat iaitu wakil kepada rakyat," katanya pada sidang media bagi Pengumuman Senarai Portfolio Exco Kerajaan Negeri Kelantan di Kota Bharu hari ini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, PAS dan Bersatu menang 43 daripada 45 kerusi DUN dipertandingkan, manakala dua kerusi dimenangi calon Pakatan Harapan Dr Hafidzah Mustakim (DUN Kota Lama) dan calon Barisan Nasional Mohd Syahbuddin Hashim (DUN Galas).

Dalam perkembangan lain, Nassuruddin berkata pihaknya akan merapatkan hubungan dengan Kerajaan Persekutuan atas prinsip memenuhi kebajikan dan keperluan rakyat, terutama dalam menangani masalah air. 

Beliau berkata kerajaan negeri juga dijangka mengadakan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

Selain itu, beliau berkata pihaknya juga akan memanfaatkan kepakaran anak-anak Kelantan dan meningkatkan hubungan strategik dengan negara luar dalam bidang pendidikan serta ekonomi. 

Berikut senarai penuh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Kelantan 2023-2028:

1. Menteri Besar Mohd Nassuruddin Daud (Pengerusi Jawatankuasa Perancangan, Pentadbiran Awam, Kewangan, Ekonomi dan Tanah).

2. Timbalan Menteri Besar Mohamed Fadzli Hassan (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wilayah, Sumber Asli, Integriti, Pembangunan Insan dan Undang-undang).

3. Wan Roslan Wan Hamat (Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi).

4. Mohd Asri Mat Daud (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta).

5. Md Anizam Ab Rahman (Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawan).

6. Hilmi Abdullah (Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar).

7. Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail (Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi).

8. Izani Husin (Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar).

9. Rohani Ibrahim (Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita).

10. Kamarudin Md Nor (Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan).

11. Zamakhshari Muhamad (Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat).