- Iklan -
Berita

Zahid patut letak jawatan, kata Mahathir selepas prestasi buruk Umno dalam PRN

Bekas perdana menteri itu berkata prestasi Umno semakin merudum kerana mempunyai pemimpin parti yang tidak mengutamakan perjuangannya.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menggesa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan berikutan prestasi buruk parti itu pada pilihan raya negeri baru-baru ini, yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandinginya.

Bercakap pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini, Mahathir berkata Zahid "tidak layak langsung".

“Dia ada 47 pertuduhan terhadapnya... dia minta nak jadi timbalan kononnya sebagai timbalan perdana menteri dia tidak akan dihukum.

“Saya harap dia akan dihadapkan ke mahkamah dan tidak ada pengaruh lain yang cuba menyelamatkan dia,” katanya.

Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos menyaksikan BN dan Umno diberi tamparan hebat oleh sebahagian besar pengundi Melayu di kubu kuatnya, manakala Perikatan Nasional (PN) terus meraih kejayaan cemerlang termasuk di negeri-negeri yang dipegang Pakatan Harapan (PH). 

Daripada enam negeri yang mengadakan PRN, Negeri Sembilan adalah satu-satunya negeri yang Umno berjaya menang di sebahagian besar kerusi yang ditandinginya. 

Di Terengganu dan Kedah pula, parti itu ditendang keluar oleh pengundi walaupun melakukan kempen besar-besaran oleh pemimpin tertinggi parti.

Mahathir berkata Umno, parti yang diterajuinya selama 22 tahun sebelum bersara daripada politik, semakin merudum berikutan ada pemimpin yang tidak mengutamakan perjuangannya.

“Dulu dapat majoriti yang kuat dapat diri kerajaan yang kukuh sekarang ini dipandang hina oleh ahli-ahli mereka sendiri.

“Siapa yang tak bersetuju dengan pemimpin disingkir, itu lah Umno sekarang ini.

“Ini bukan Umno yang ditubuhkan, ini Umno yang kena ‘hijack’ oleh orang yang mempunyai perjuangan yang berlainan,” katanya.