- Iklan -
Berita

Ringgit mulakan dagangan rendah berbanding dolar AS pagi ini

Mata wang tempatan itu susut kepada 4.6275/6295 berbanding dolar AS berbanding 4.6140/6175 pada penutup semalam.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Tukaran ringgit-dolar AS dijangka kekal di sekitar paras jangka terdekatnya pada 4.6257 hari ini.
Tukaran ringgit-dolar AS dijangka kekal di sekitar paras jangka terdekatnya pada 4.6257 hari ini.

Ringgit memulakan dagangan pagi Selasa lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan kenaikan berterusan Indeks dolar AS (DXY) selepas pelabur mengambil pendekatan berhati-hati terhadap  prospek pertumbuhan global terutamanya di China.

Pada 9.01 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.6275/6295 berbanding dolar AS daripada 4.6140/6175 pada penutup Isnin.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata petunjuk utama data dari China hari ini termasuk Pelaburan Aset Tetap dengan anggaran konsensus menjangkakan ia kekal pada 3.8% untuk bulan Julai.

Selain itu, beliau menambah data Jualan Runcit di Amerika Syarikat (AS) dijangka meningkat 0.4 peratus bulan ke bulan pada Julai daripada 0.2 peratus sebelumnya dan ini menyarankan langkah-langkah Rizab Persekutuan AS (Fed) tidak akan berlaku dalam jangka masa terdekat.

"Justeru, pertukaran ringgit-dolar AS kemungkinan berlegar di sekitar paras rintangan tempoh terdekat pada paras 4.6257 hari ini," kata Mohd Afzanizam kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit didagangkan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan meningkat sedikit berbanding yen Jepun kepada 3.1822/1838 daripada 3.1832/1858 pada Isnin, mengukuh berbanding euro kepada 5.0468/0489 daripada 5.0519/0557 tetapi merosot berbanding pound Britain kepada 5.8691/8716 daripada 5.8575/8619 sebelumnya.

Berbanding mata wang Asean yang lain, ringgit diniagakan rendah.

Nilai mata wang tempatan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 302.1/302.4 daripada 301.2/301.6 pada Isnin dan lemah berbanding peso Filipina pada 8.15/8.18 daripada 8.11/8.13.

Ringgit turut menyusut nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.4124/4143 daripada 3.4064/4095 dan turun berbanding baht Thai kepada 13.1232/1337 daripada 13.1173/1332 semalam (Isnin).