- Iklan -
Berita

AGC fail rayuan berhubung pembebasan Muhyiddin, kata peguam negara

Peguam Negara Idrus Harun berkata permohonan yang telah diputuskan oleh mahkamah sebentar tadi hanyalah berkenaan dengan empat pertuduhan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin bercakap kepada media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 15 Ogos.
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin bercakap kepada media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 15 Ogos.

Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas dan membebaskan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu.

Peguam Negara Idrus Harun berkata permohonan yang telah diputuskan oleh mahkamah sebentar tadi hanyalah berkenaan dengan empat pertuduhan bagi kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Tiga lagi pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 ke atas Muhyiddin masih kekal dan tarikh sebutan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ialah pada 19 September 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Idrus berkata demikian ketika merujuk keputusan Hakim Muhammad Jamil Hussin yang membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan empat pertuduhan predikat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM dan seterusnya memerintahkannya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan predikat itu.

Jamil melepas dan membebaskan Muhyiddin, 76, setelah mendapati keempat-empat pertuduhan dihadapi Pengerusi Perikatan Nasional itu adalah kabur dan tidak berasas kerana ia tidak menyatakan butiran kesalahan dilakukan. 

Muhyiddin, sebagai Perdana Menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Azman Yusoff bagi parti itu.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Selain empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan, Muhyiddin turut berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di Kuala Lumpur antara 25 Februari 2021 dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lepas atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama.