Klip video maki ‘parti serban’ sengaja diviralkan untuk ganggu momentum PH-BN, kata Loke
Setiausaha Agung DAP berkata lelaki yang dilihat memaki hamun pada majlis parti Jun lalu adalah ahli biasa dan tidak mewakili kepimpinan parti.
Terkini
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menggesa penyokong Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) supaya tidak "terpengaruh" dengan klip video tular yang menunjukkan penyokong parti itu melemparkan makian kepada PAS dan Umno semasa majlis anjuran DAP untuk mengumpulkan dana bagi kempen pilihan raya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong yang turut dihadiri beliau dan pemimpin tertinggi lain pada Jun lalu.
Loke, yang juga menteri pengangkutan, berkata video itu "sengaja diviralkan oleh pihak tertentu" dalam usaha mengganggu momentum kempen PH dan BN.
Beliau berkata ucapan itu disampaikan oleh “ahli biasa DAP dan tidak sama sekali mewakili kepimpinan parti”.
“Saya menyeru semua penyokong PH dan BN tidak terpengaruh dengan klip video tersebut yang tidak sama sekali mewakili akhlak dan pendirian DAP," kata Loke sambil menambah bahawa beliau mengarahkan keahlian lelaki tersebut digantung.
Video berdurasi dua minit itu mencetuskan gelombang di WhatsApp dan platform perkongsian video sejak petang semalam, memperoleh kira-kira setengah juta tontonan dalam tempoh 24 jam di TikTok sahaja, diikuti dengan ribuan komen yang mengecam.
Video tersebut dirakam pada 10 Jun di sebuah restoran Cina di Cheras, yang turut dihadiri Loke bersama pemimpin DAP lain seperti Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo, Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim, penyandang Adun Balakong Wong Siew Ki dan Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan.
Ia menunjukkan seorang lelaki membangkitkan semangat penonton dengan menghamburkan makian yang ditujukan kepada PAS serta musuh DAP yang lain.
Beliau berhujah bahawa DAP tidak salah dalam menentang Umno pada masa lalu, dan memberi amaran tentang akibat pengundi tidak menyokong kerajaan sedia ada.
“Kita tidak salah dalam menentang mereka. Mereka buat sampai Malaysia sebegini mundur. Semuanya kerana mereka.
“Kalau mereka kalah dalam pilihan raya negeri, kumpulan terkutuk ini akan berpecah, akan berlaku huru-hara, dan ramai yang akan melompat menyertai parti serban.
“Sekali lompat, Abang Nuar (Anwar) kita akan jatuh. Semua faham?
“Kalau kita kalah enam negeri, kerajaan Abang Nuar akan goyah. Jadi kalau nak kerajaan Abang Nuar ni kukuh, semua kena keluar mengundi dan memangkah Pakatan Harapan,” kata lelaki itu.
Ucapan itu juga mengingatkan kenyataan oleh seorang lagi penyokong DAP Hew Kuan Yew, atau lebih dikenali sebagai Superman Hew, yang semasa kempen pilihan raya umum tahun lepas menggesa pengundi Cina supaya mempergunakan situasi perpecahan dalam kalangan masyarakat Melayu bagi membolehkan "tumbukan maut” dilancarkan pada pilihan raya.
"Sekarang biarkan Melayu yang nak ketuanan Melayu, Melayu yang balut kepala yang nak ketuanan Islam, maksudnya PAS yang jah**** itu," kata Hew dalam klip video yang tular pada malam hari pengundian, 19 November tahun lalu.
Polis menahan dan membebaskan Hew beberapa hari kemudian tetapi tidak mengumumkan hasil siasatan mereka.
Klip terbaru itu muncul pada peringkat penting kempen pilihan raya di Selangor, di mana beberapa pertempuran paling sengit sedang berlaku ketika Perikatan Nasional (PN) menimbulkan ancaman terbesar kepada penguasaan PH di negeri itu.
Tinjauan baru-baru ini oleh Ilham Center menunjukkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim masih bukan tokoh popular dalam kalangan sebahagian besar pengundi Melayu, yang sokongannya sangat penting bagi pakatan PH dan BN untuk menghalang Selangor tumbang ke tangan PN.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
