- Iklan -
Berita

Lebih banyak pelaburan asing, domestik jika BN-PH menang di Kelantan, kata Zahid

Timbalan perdana menteri juga berkata agama Islam tidak pernah dicabar di bawah kerajaan campuran.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) menyanyikan lagu Barisan Nasional pada satu majlis di Pasir Puteh, 9 Ogos. Gambar: Bernama
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) menyanyikan lagu Barisan Nasional pada satu majlis di Pasir Puteh, 9 Ogos. Gambar: Bernama

Kerajaan campuran memberi jaminan akan menarik pelaburan asing dan domestik ke Kelantan sekiranya gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah itu merupakan antara tumpuan BN-PH selain sektor pendidikan dan usaha mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Kelantan.

"Kita akan bawa lebih banyak pelabur asing datang ke Kelantan seterusnya bagi peluang pekerjaan kepada anak-anak negeri…

“Kita tidak mahu anak Kelantan ramai yang menganggur, akhirnya mencari kerja di luar," katanya semasa berucap pada Himpunan Jentera dan Penyokong BN-PH Pasir Puteh di Dewan Terbuka Uthmaniyah Kampung Pulau Lima di Pasir Puteh malam tadi.

Hadir sama Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh Zawawi Othman.

Zahid, yang juga Pengerusi BN, juga berkata agama Islam tidak tergugat sebaliknya peruntukan kepada institusi dan hal ehwal Islam semakin bertambah sejak Kerajaan Perpaduan mentadbir negara.

"Sejak (Kerajaan Perpaduan) ambil alih (pemerintahan negara), adakah Islam terancam atau tergugat? Sebaliknya lebih banyak (peruntukan) dari zaman tiga Perdana Menteri sebelum ini," katanya.