- Iklan -
Berita

Portal berita UtusanTV pula disekat akses

Akses kepada portal berita itu telah disekat terhadap sebahagian besar pengguna sejak pagi ini.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Portal berita UtusanTV merupakan laman sesawang terbaru yang dikenakan sekatan.
Portal berita UtusanTV merupakan laman sesawang terbaru yang dikenakan sekatan.

Portal berita UtusanTV yang mempunyai 2.9 juta pengikut di laman TikTok disekat akses kepada sebahagian besar pembacanya sejak awal hari ini.

Sekatan itu adalah yang terbaru dalam tempoh kurang dua bulan selepas  portal berita MalaysiaNow dan Malaysia Today serta laman blog bekas ahli Parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong.

Portal berita itu, https://utusantv.com/, adalah laman sesawang yang dikendalikan oleh Utusan Binders Sdn Bhd – salah satu daripada bekas anak syarikat Kumpulan Utusan.

Sekatan itu disedari oleh pihak pengurusan syarikat tersebut pagi ini.

Semakan MalaysiaNow menerusi hasil ping ke alamat www.utusantv.com menunjukkan bahawa terdapat penyekatan DNS di tapak laman sesawang berkenaan di mana ia diganggu untuk mengubah hala ke alamat IP Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), 175.139.142.25.

Sekatan terhadap portal berita itu dikesan sekurang-kurangnya di dua penyedia perkhidmatan internet (ISP), Maxis dan Unifi.

Sementara itu, Ketua Pengarang UtusanTV Zulkefli Hamzah ketika dihubungi memaklumkan pihaknya sudah menghubungi SKMM untuk mendapat pengesahan.

“Kami sudah menghubungi SKMM dan Kementerian Komunikasi dan Digital dan masih menunggu penjelasan daripada mereka,” katanya kepada MalaysiaNow.