- Iklan -
Berita

'Superman Hew' gesa beri sokongan kepada PH-BN untuk sekat 'pelampau' PN

Penceramah yang dikaitkan dengan DAP itu tidak asing lagi dengan ucapan berbaur perkauman.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
'Superman' Hew Kuan Yew (kiri) bersama tangkap layar siaran Facebook menggesa sokongan kepada Barisan Nasional dan Pakatan Harapan pada pilihan raya negeri akan datang.
'Superman' Hew Kuan Yew (kiri) bersama tangkap layar siaran Facebook menggesa sokongan kepada Barisan Nasional dan Pakatan Harapan pada pilihan raya negeri akan datang.

Seorang penyokong DAP yang memberikan ucapan kontroversi menjelang pilihan raya umum tahun lepas hingga menyebabkannya ditangkap menggesa pengundi menyokong Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bagi mengelak ancaman ekstremisme.

Dalam beberapa hantaran di Facebook, Hew Kuan Yew menyenaraikan enam sebab supaya menyokong PH-BN.

Katanya, salah satunya adalah untuk menghentikan apa yang disebutkan sebagai "kuasa konservatif dan ekstremis".

"Malaysia adalah sebuah negara majmuk dan berbilang kaum, di mana semua etnik menghormati antara satu sama lain. Bagaimanapun, negeri yang ditadbir oleh PN sentiasa melaksanakan dasar konservatif, seperti mengharamkan alkohol, mengharamkan nombor ekor, mengharamkan konsert, dan juga mengawal cara berpakaian orang bukan Islam," katanya dalam salah satu hantaran berbahasa Cina bertajuk "Menolak Ekstremisme".

"Kita tidak boleh membiarkan kuasa konservatif, pelampau ini merebak. Pilihan raya ini bukan sahaja tentang memilih siapa yang mentadbir, tetapi juga pertempuran untuk mempertahankan masyarakat kita yang pelbagai dan terbuka," tambah Hew. 

Amarannya sama seperti dilemparkan Lim Guan Eng bulan lalu, di mana pengerusi DAP itu memberi amaran terhadap "gelombang hijau", istilah yang digunakan parti itu untuk merujuk kepada kejayaan PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu.

Lim antara lain berkata rumah ibadah orang bukan Islam di Pulau Pinang akan dirobohkan jika kerajaan negeri sekarang bertukar. 

Kenyataan itu mendapat reaksi keras daripada PN dan beberapa kumpulan Melayu, yang menggesa polis menjalankan siasatan terhadap beliau selepas menimbulkan sentimen perkauman dan agama. 

Polis masih belum mengumumkan hasil siasatan yang sudah lebih sebulan itu. 

Hew sendiri ditahan hanya beberapa hari selepas PRU15 tahun lepas atas ucapan dalam bahasa Kantonis, di mana beliau menggesa masyarakat Cina supaya mempergunakan situasi perpecahan dalam kalangan masyarakat Melayu bagi membolehkan "tumbukan maut” dilancarkan pada pilihan raya.

"Sekarang biarkan Melayu yang nak ketuanan Melayu, Melayu yang balut kepala yang nak ketuanan Islam, maksudnya PAS yang jah**** itu," kata Hew yang lebih dikenali sebagai Superman Hew, dalam klip video yang tular itu.

“Politik Melayu, politik kaum dan politik agama, biar mereka tikam sesama sendiri.

“Sekarang mereka berpecah belah, kita kena bersatu.,” katanya, sambil mengacungkan penumbuknya.

Hew kemudiannya menggayakan cara beliau melancarkan pukulan maut.

Hew bagaimanapun menuduh MCA menyunting video berkenaan dan menambah sari kata untuk kegunaan Umno.

Dia ditahan pada 23 November, sehari sebelum kerajaan Persekutuan ditubuhkan di bawah Perdana Menteri Anwar Ibrahim. 

Polis Pahang kemudian berkata Hew akan disiasat mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana kenyataan yang mempromosi niat jahat dan permusuhan antara rakyat, serta mengikut Kanun Keseksaan kerana mengancam keamanan awam dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

Dia kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin, walaupun tidak jelas sama ada sebarang pertuduhan dikenakan terhadapnya. 

Pada 2016, ucapannya dirakamkan dalam video yang menggesa rakyat Sarawak supaya "mencacatkan orang Melayu" semasa pilihan raya negeri ketika itu. 

Beliau meletak jawatan daripada DAP pada tahun yang sama tetapi terus mempromosikan parti itu.

Selepas PH berkuasa pada 2018, Hew dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perniagaan Malaysia-China. 

Dia ketika itu menimbulkan kontroversi lain, mengenai penerbitan buku komik yang diharamkan untuk propaganda komunis.