Kontroversi agamawan dari India yang diraikan Anwar
Kanthapuram AP Aboobacker Musliyar antara orang pertama mengucapkan tahniah kepada Anwar Ibrahim, dan lapan bulan kemudian dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah daripada kerajaan pimpinannya.
Terkini
Kira-kira lima bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lepas, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim menerima seorang tetamu kenamaan dari India.
Beliau ialah Kanthapuram AP Aboobacker Musliyar, tetapi di luar India, beliau lebih dikenali dengan nama Sheikh Abu Bakr Ahmad.
Selepas Anwar dilantik sebagai perdana menteri pada November tahun itu, Abu Bakr adalah antara orang pertama yang mengucapkan tahniah kepadanya, di mana dia turut mengingati lawatan ahli politik itu ke Kerala, India hanya beberapa bulan sebelum itu.
Lapan bulan kemudian, pada Julai, Abu Bakr sekali lagi muncul di Malaysia.
Kali ini, beliau dan delegasi tiba dengan sebuah jet peribadi, di mana mereka ditempatkan sebagai tetamu kerajaan di Putrajaya.
Abu Bakr adalah antara individu yang dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah, penghargaan paling berprestij oleh kerajaan Malaysia sempena sambutan Awal Muharam.
Jadi siapakah Abu Bakr, personaliti yang tidak dikenali oleh umat Islam Malaysia, yang rata-rata hanya mula mendengar nama beliau selepas diraikan oleh perdana menteri yang berulang kali melemparkan pelbagai pujian terhadapnya?
Di India, Abu Bakr yang berusia 86 tahun itu mempunyai pengikut taksub yang ramai dalam kalangan mereka yang sealiran dengan pertubuhannya.
Bagaimanapun, ia sesuatu yang biasa di sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian agama seperti India, dengan populasi lebih daripada satu bilion di mana kira-kira 200 juta terdiri daripada umat Islam pelbagai mazhab, termasuk yang mengikut aliran Islam yang bukan arus perdana.
Oleh itu, adalah tidak mengejutkan Abu Bakr dianggap sebagai seorang watak kontroversi.
Tidak lama dahulu, beliau terlibat dalam sebuah percaturan berlarutan yang memecahbelahkan umat Islam di benua kecil itu selama bertahun-tahun.
Di tengah-tengah kontroversi ialah dakwaan beliau memiliki sehelai rambut yang dikatakan milik Nabi Muhammad.
Walaupun umat Islam secara amnya bersetuju barang peninggalan Nabi Muhammad dianggap suci, namun kebanyakan ulama aliran Ahli Sunnah Waljamaah meragui keaslian sesuatu objek yang didakwa milik Nabi.
Ahli sejarah pula berpandangan antara barang peninggalan yang tulen dan boleh dipercayai ada kaitan dengan Nabi Muhammad kini tersimpan di Istana Topkapi di Turkiye, sebuah bangunan era empayar Uthmaniyyah yang kini merupakan sebuah muzium terkenal di dunia.
Abu Bakr mula-mula membuat dakwaan tersebut sekembalinya dari Oman.
Namun, seperti dijangkakan, dakwaannya dipersoalkan ulama lain di India, di mana antara lain beliau dituduh cuba memperalatkan objek didakwa milik Nabi untuk mengaut keuntungan melalui derma dan sumbangan untuk membina sebuah bangunan yang bakal menjadi masjid terbesar di India.
Bagaimanapun, tuduhan sedemikian dinafikan oleh Abu Bakr.
Pada 2018, beliau mengumumkan selain "rambut suci" yang ada pada simpanannya, beliau menerima satu lagi "rambut suci" yang didakwanya milik Nabi, kali ini dari Madinah.
Abu Bakr menepis segala kritikan yang dilemparkan terhadapnya sebaliknya meneruskan cita-citanya membina masjid terbesar di India, yang dicadangkan akan dipanggil Shahre Mubarak, yang membawa maksud "rambut yang diberkati", di mana objek itu akan tersimpan sebagai tarikan utama masjid tersebut.
Meskipun masjid tersebut belum dinamakan secara rasmi, namun kompleks dengan reka bentuk Mughal itu dipercayai hampir siap dan terletak dalam Markazu Saqafathi Sunniyya, pusat pendidikan Islam yang dikendalikan oleh organisasi Abu Bakr di Calicut, Kerala.
Ada yang menganggarkan kira-kira 400 juta rupee (kira-kira RM22 juta)dibelanjakan untuk pembinaannya, sebahagian besarnya hasil daripada golongan hartawan India yang tinggal di negara Teluk.
Namun kejayaan pembinaan kompleks itu, yang saiznya menyerupai lima padang bola sepak dan bakal menjadi yang terbesar di India, seakan-akan disembunyikan oleh debat rancak mengenai "rambut suci".
Kritikan ke atas Abu Bakr terhadap dakwaannya mengenai "rambut suci" hanyalah salah satu daripada beberapa isu yang memecahbelahkan umat Islam di India, di mana perayaan besar seperti Hari Raya Aidilfitri pun kadangkala disambut pada hari berbeza disebabkan perbezaan pendapat dalam menentukan anak bulan.
Gelaran "mufti besar" Abu Bakr, yang digunakannya sejak 2019, juga diselubungi kontroversi, lebih-lebih lagi kerana tidak wujud sebarang pengiktirafan rasmi untuk jawatan sedemikian daripada kerajaan India.
Gelaran itu sebaliknya diberikan oleh All India Tanzeem Ulama-e-Islam, sebuah pertubuhan yang sealiran dengan Abu Bakr.
Isu "rambut suci" ini bukanlah satu-satunya kontroversi yang menyebabkan kritikan umat Islam terhadap Abu Bakr.
Baru-baru ini, Abu Bakr turut dikritik oleh kumpulan Islam yang menganggap beliau terlalu berlembut terhadap parti pemerintah BJP dan Perdana Menteri Narendra Modi, yang terkenal dengan dasar tidak mesra terhadap umat Islam India dan agenda sayap kanan.
Modi juga dituduh terlibat dalam rusuhan Hindu-Muslim di Gujerat pada 2002, ketika beliau menjadi ketua menteri di sana.
Baru-baru ini, sebuah dokumentari siasatan BBC mengenai peristiwa itu mendapati Modi bertanggungjawab atas keganasan yang membunuh lebih 2,000 nyawa, kebanyakannya orang Islam.
Pada Mac lalu, Abu Bakr menjadi satu-satunya pemimpin Islam yang menghadiri Forum Sufi Sedunia di New Delhi, acara yang dirasmikan Modi.
Abu Bakr boleh dianggap salah seorang pemimpin Islam di India yang berjaya, di mana minoriti Islam di sana banyak memiliki persamaan dengan umat Islam di Malaysia.
Beliau bukan satu-satunya tokoh Islam luar negara yang diraikan pemimpin politik Malaysia.
Tidak lama dahulu, kerajaan dan pembangkang mempertahankan pendakwah India, Dr Zakir Naik walaupun mendapat bantahan daripada ahli politik bukan Islam yang menuduhnya menghina agama mereka.
Terdapat juga tuduhan yang dilemparkan kepada seorang lagi penceramah Islam popular, Ismail Menk atau lebih dikenali sebagai Mufti Menk, seorang ulama dari Zimbabwe yang diharamkan berceramah di Johor kerana beberapa pandangannya yang dianggap boleh mengganggu keharmonian kaum.
Baru-baru ini, seorang penyokong Anwar tampil menyatakan kekecewaannya dengan pengerusi PH itu kerana mengalu-alukan penceramah Indonesia, Abdul Somad Batubara, atas alasan apa yang dibawa pendakwah itu bertentangan dengan prinsip kesederhanaan yang dibawa oleh perdana menteri.
Somad sebelum ini dihalang masuk ke Singapura kerana beberapa pandangannya dianggap tidak toleran, termasuk pendiriannya yang menyokong kemunculan semula sistem khalifah.
Nampaknya Abu Bakr, pemimpin Islam di India, bukanlah tokoh Islam kontroversi yang terakhir diangkat oleh ahli politik Malaysia dalam cubaan mereka mempamerkan keIslaman mereka dalam usaha meraih sokongan daripada kelompok pengundi yang penting.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
Artikel Berkaitan
Paling Popular
Tiada artikel ditemui.
