- Iklan -
Berita

Sanusi dedah kaitan Anwar dengan taikun Indonesia dalam permohonan REE

Menteri Besar Kedah berkata perdana menteri menemani Riza Chalid ke Kedah ketika taikun Indonesia itu mahu membida hak pelombongan sumber nadir bumi di negeri itu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Kiriman di Facebook menunjukkan Anwar Ibrahim (kiri) dan Riza Chalid (kanan) semasa mengadap Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, sebulan sebelum pilihan raya umum tahun lepas.
Kiriman di Facebook menunjukkan Anwar Ibrahim (kiri) dan Riza Chalid (kanan) semasa mengadap Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, sebulan sebelum pilihan raya umum tahun lepas.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata siri pertuduhan terhadapnya berhubung kecurian sumber nadir bumi (REE) dikaitkan dengan bidaan taikun Indonesia untuk mendapatkan hak perlombongan galian yang menguntungkan di negeri itu. 

Sanusi, yang memfailkan saman fitnah terhadap Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution kerana menuduhnya terlibat dalam kecurian REE di negeri itu, mendedahkan taikun itu sebagai ahli perniagaan terkemuka Indonesia, Riza Chalid. 

Beliau berkata Riza datang ke Kedah ditemani Anwar Ibrahim untuk bertemu individu tertentu.

"Rupanya Riza Chalid datang untuk memohon kawasan lombong REE. Mari dengan Anwar Ibrahim boss!

"Patutlah Pudin (Saifuddin) pulun sangat, pasal tu lah," katanya dalam ceramah malam tadi.

Pada 2 Oktober lalu, laman Facebook milik keluarga diraja Kedah telah menyiarkan tentang pertemuan Anwar dengan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah. 

Menurut catatan itu, Anwar yang ketika itu ahli Parlimen Port Dickson, datang bersama Riza.

Sanusi turut mendedahkan beberapa hari sebelum pembubaran DUN, beliau dihubungi oleh seseorang yang memaklumkan Riza ingin menghulurkan sumbangan lembu korban.

Sanusi berkata beliau bagaimanapun menolak tawaran itu.

"Aku takut pasal nak pilihan raya, aku takut lembu tu jadi rasuah."

Sanusi berkata pentadbirannya tidak mempunyai masalah untuk meluluskan permohonan melombong sumber REE di negeri ini selagi ia memberi manfaat kepada rakyat Kedah.

"Marilah siapa pun, Anwar Ibrahim ke, Saifuddin ke, Riza Chalid ke, mari," tambahnya.

Saifuddin, yang juga setiausaha agung PKR, berada di barisan hadapan dalam serangan terhadap Sanusi dalam usaha Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) untuk merampas Kedah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Saifuddin juga cuba mengaitkan Sanusi dengan seorang warga China, So Loi Fat, seorang daripada dua individu yang dikatakan terlibat dalam kecurian REE di hutan simpan di Sik. 

Sanusi berkata So memiliki syarikat tenaga solar, Prospek Suria (Kedah) Bhd, sebuah usaha sama dengan firma milik kerajaan negeri MBI, sambil menambah beliau sudah pun terlibat dalam perniagaan walaupun sebelum PAS mengambil alih kerajaan negeri.

"Jadi dakwaan Saifuddin bahawa warga China ini masuk atas rekomendasi saya, yang saya facilitate (memudahkan urusan) imigresen untuk beri dia visa – semua itu tidak benar. Orang yang tidak bercakap benar dipanggil pembohong," katanya.

Sanusi berkata gambar beliau bersama So tidak membuktikan apa-apa kerana beliau mengambil gambar dengan begitu ramai orang.

Beliau berkata tidak lama selepas menjadi menteri besar pada 2020, So menghampirinya dengan seorang peguam yang juga rakan Saifuddin dan penyokong Anwar.

Beliau berkata dalam pertemuan itu, beliau diberi taklimat mengenai proses perlombongan REE.

"Dia kata sudah ada agreement (perjanjian) untuk JV (bekerjasama) dengan MBI. Saya kata teruskan. Katanya dia dah bayar kat MBI upfront (bayaran pendahuluan) sekurang-kurangnya RM5 juta. Saya kata teruskan, tetapi kena ikut undang-undang.

"Rupa-rupanya, ada orang lain duk menitik air liur. Dia pun nak juga rupanya!"

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.