- Iklan -
Berita

PN tawan Selangor jika 90% Melayu keluar mengundi, kata Muhyiddin

Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata pengundi Melayu akan menjadi penentu pada enam pilihan raya akan datang.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Penyokong bersorak semasa Perikatan Nasional mengumumkan calon untuk pilihan raya negeri akan datang di Taman Medan, Petaling Jaya, 26 Julai.
Penyokong bersorak semasa Perikatan Nasional mengumumkan calon untuk pilihan raya negeri akan datang di Taman Medan, Petaling Jaya, 26 Julai.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menzahirkan keyakinan terhadap prospek kemenangan blok itu jika 90% orang Melayu keluar mengundi pada enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang pada 12 Ogos ini.

Katanya, pengundi Melayu menjadi kunci utama dalam PRN ini ketika PN akan berdepan dengan saingan daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), sekali gus menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara gabungan politik utama negara.

"Kalau 90% orang Melayu keluar mengundi, kita menang. Ini tidak bermakna undi orang Cina dan India tidak penting, tetapi kuncinya ialah, pengundi di Selangor, sebahagian besar adalah orang Melayu.

"Kalau orang Melayu berduyun-duyun keluar awal pagi, selepas menunaikan solat Subuh, mandi dan bersedia pada jam 7 pagi.

"Lepas itu, kalau ada kenderaan, tak kira siapa, bawa pergi ke tempat buang undi atau naik kereta sendiri. Pergilah tunaikan tanggungjawab, ," katanya ketika berucap semasa program pengumuman calon PN di Taman Medan, di Petaling Jaya, Selangor malam tadi.

56 calon PN diumum di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ketika gabungan itu melahirkan keyakinan menawan negeri terkaya Malaysia itu. 

31 calon daripada Bersatu manakala PAS meletakkan 17 calon dan Gerakan seramai lapan. 

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, PN mendapat peratusan undi tertinggi daripada kaum Melayu, diikuti oleh BN dan PH. 

Bekas perdana menteri itu berkata, PRU15 lalu seramai 30% orang Melayu tidak keluar mengundi.

"30% itu jumlah yang besar. Kalau hanya 5% daripada 30% (keluar mengundi), mungkin kita dapat menang tiga atau empat kerusi lagi," katanya.

Awal bulan lalu Institute of Southeast Asian Studies (Iseas) yang berpusat di Singapura menerbitkan kajian lapangan yang mendapati tidak berlaku kebolehpindahan undi orang Melayu di kalangan penyokong BN kepada PH walaupun kedua-dua parti itu berada dalam kerajaan campuran.

"Pengundi Melayu BN tidak semestinya mengundi calon PH dan pengundi Melayu PH juga tidak semestinya mengundi calon BN dalam PRN yang bakal berlangsung.

"Sebaliknya, dalam kalangan pengundi Melayu BN, 39% telah menyatakan akan mengundi PN dan hanya 15% akan mengundi PH," menurut kajian itu.

Ini bermakna, sokongan terhadap BN atau PH tidak boleh disukat berdasarkan campuran jumlah undi yang diperoleh kedua-duanya sebelum PRU15.

Ini kerana di peringkat akar umbi, kedua-dua parti itu masih bermusuhan antara satu sama lain.