- Iklan -
Berita

The 1975 pulang sebelum laporan polis diterima, kata Ayob Khan

Ayob Khan Mydin Pitchay menolak dakwaan ketidakcekapan di pihak polis.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Persembahan The 1975 di Anugerah Brit di Arena O2 di London, Britain, 20 Februari 2019. Gambar: Reuters
Persembahan The 1975 di Anugerah Brit di Arena O2 di London, Britain, 20 Februari 2019. Gambar: Reuters

Polis menerima laporan mengenai tindakan kumpulan The 1975 yang melakukan aksi tidak senonoh di Festival Good Vibes 2023 di Sepang, Jumaat lepas hanya selepas kumpulan itu berlepas pulang ke United Kingdom, kata Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay.

Menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa polis tidak cekap dalam menangani kejadian itu, beliau berkata kumpulan itu berlepas pulang ke United Kingdom dalam tempoh enam jam (5.30 pagi) selepas konsert itu dihentikan pada 11.30 malam, 21 Julai.

 “Laporan polis pertama yang diterima adalah pada keesokan hari pada 2 petang,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan Bendera Kejohanan World Police & Fire Games Winnipeg 2023 kepada Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri di Bukit Aman di Kuala Lumpur semalam.

Beliau berkata siasatan kes itu masih berjalan dan dibuat mengikut Seksyen 509, 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil.

Ayob Khan berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berurusan dengan pihak berkuasa United Kingdom sekiranya terdapat proses pendakwaan terhadap kumpulan The 1975. 

“Kesalahan ini adalah kesalahan yang dilakukan di negara ini maka kita tidak boleh memohon notis merah daripada Polis Antarabangsa (Interpol) kecuali ia melibatkan kesalahan besar,” katanya apabila ditanya sama ada PDRM akan meminta bantuan daripada Interpol.

Ayob Khan berkata setakat ini polis telah selesai mengambil 13 keterangan bagi membantu siasatan iaitu enam keterangan diambil daripada pengadu, seorang penganjur dan enam daripada Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem Dan Persembahan Artis Luar Negara. 

Katanya polis menerima 18 laporan dan lapan daripadanya dibuat di Selangor.

Jumaat lepas, persembahan kumpulan The 1975 dihentikan susulan tindakan biadab vokalisnya Matty Healy yang menyentuh sensitiviti masyarakat Malaysia dan memperlekehkan undang-undang negara pada Festival Good Vibes yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.