- Iklan -
Berita

'Datuk' ditahan dengan wang tunai RM38 juta, 200kg emas dan 17 kereta mewah

Serbuan yang dijalankan Pasukan Petugas Agensi-agensi Penguatkuasa Malaysia diketuai SPRM Isnin lalu berjaya melumpuhkan satu sindiket rasuah, pecah amanah, penyeludupan barang-barang haram dan pengurangan cukai tidak sah.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Antara 17 kereta mewah yang disita Pasukan MATF.
Antara 17 kereta mewah yang disita Pasukan MATF.

Seorang ahli perniagaan bergelar “Datuk” dan sekutunya ditahan dalam satu serbuan serentak Pasukan Petugas Agensi-agensi Penguatkuasa Malaysia (MATF) di 34 lokasi di Kuala Lumpur dan Selangor bermula Isnin lalu.

Dalam operasi pertama itu, pasukan MATF yang diketuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya merampas sejumlah wang tunai anggaran kira-kira RM38 juta.

Menurut sumber, operasi yang diberi nama Op 82S itu turut menyita emas seberat anggaran 200 kilogram bernilai kira-kira RM60 juta serta 17 kereta mewah antaranya berjenama Maserati, Ferrari dan Mercedes Benz.

Operasi itu dijalankan dengan kerjasama enam agensi penguatkuasaan lain iaitu polis, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Cyber Security Malaysia (CSM) melibatkan 315 pegawai.

Barang kemas yang dirampas dalam serbuan.
Barang kemas yang dirampas dalam serbuan.

“Ini merupakan kes pertama yang dijalankan di bawah Pasukan MATF yang dipengerusikan oleh Peguam Negara,” kata sumber itu.

“Operasi besar-besaran ini sekali gus melumpuhkan satu sindiket rasuah, pecah amanah, penyeludupan barang-barang haram dan pengurangan cukai tidak sah.”

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Menurut Azam, kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, Akta Percukaian 1967 dan Akta Kastam 1967.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi