- Iklan -
Berita

Jenazah Salahuddin Ayub selamat dikebumikan

Solat jenazah turut dihadiri ahli keluarga, sahabat handai, pemimpin politik dan kerajaan serta orang ramai.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pendidikan Tinggi dan Ahli Parlimen Kota Tinggi Mohamed Khaled Nordin (dua, kiri) menyiram air mawar di pusara Salahuddin Ayub di Tanah Perkuburan Jalan Sulong, Serkat, Tanjung Piai hari ini. Gambar: Bernama
Menteri Pendidikan Tinggi dan Ahli Parlimen Kota Tinggi Mohamed Khaled Nordin (dua, kiri) menyiram air mawar di pusara Salahuddin Ayub di Tanah Perkuburan Jalan Sulong, Serkat, Tanjung Piai hari ini. Gambar: Bernama

Jenazah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub selamat dikebumikan pada jam 12.05 tengah hari tadi di Tanah Perkuburan Jalan Sulong, Serkat, di Pontian hari ini.

Terdahulu, jenazah ahli Parlimen Pulai yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Simpang Jeram itu disembahyangkan sebanyak lima kali di Masjid Jamek Dato' Haji Noh Gadot, Serkat termasuk diimamkan oleh anak sulungnya Iskandar Zulkarnain Salahuddin, 37, dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ribuan rakan politik, saudara mara, sahabat handai dan orang ramai hadir di masjid berkenaan serta di tanah perkuburan bagi memberi penghormatan terakhir kepada  Allahyarham yang amat dedikasi dalam memperjuangkan nasib rakyat terutama berkaitan kos sara hidup.

Antara yang turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, Menteri Komunikasi Digital Fahmi Fadzil, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh.

Terdahulu, Salahuddin, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada jam 9.23 malam tadi (Ahad) setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

Timbalan presiden Amanah itu meninggalkan isteri Fatimah Taha dan enam anak terdiri daripada empat lelaki dan dua perempuan.