- Iklan -
Berita

45 kematian akibat denggi dicatat sejak Januari

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata kes denggi meningkat 129.2% daripada 27,914 dalam tempoh yang sama tahun lepas, manakala kematian meningkat 136.8% atau 19 kes.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail menunjukkan sukarelawan menjalankan aktiviti ‘fogging’ bagi mengelak nyamuk Aedes membiak di sebuah flat kos rendah di Kuala Lumpur.
Gambar fail menunjukkan sukarelawan menjalankan aktiviti ‘fogging’ bagi mengelak nyamuk Aedes membiak di sebuah flat kos rendah di Kuala Lumpur.

Sebanyak 45 kematian akibat denggi, dengan jumlah kumulatif sebanyak 63,966 kes demam itu direkodkan dalam tempoh Januari hingga pertengahan Julai tahun ini, menurut Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding tempoh sama tahun lepas, iaitu sebanyak 136.8% bagi jumlah kematian, manakala peningkatan sebanyak 129.2% bagi kumulatif kes. 

“Bercakap mengenai kebersihan persekitaran, satu daripada penyakit yang sering menghantui kita ialah demam denggi. Dalam tempoh sama tahun lepas, jumlah kumulatif kes demam denggi yang direkodkan ialah 27,914 kes, melibatkan 19 kematian (Januari-Julai 2022). 

“Dalam usaha menangani pembiakan Aedes, penjagaan persekitaran merupakan tanggungjawab kita bersama yang memerlukan penglibatan semua pihak,” katanya ketika berucap pada Program MADANI Afiat dan One Hour Malaysia Clean Up peringkat negeri di Perumahan Rakyat Padang Hiliran di Kuala Terengganu semalam.

Dalam sidang media selepas program itu, Zaliha memberitahu pihaknya juga sedang melihat keberkesanan inisiatif sedia ada iaitu operasi melepaskan nyamuk yang mengandungi bakteria berWolbachia yang merencatkan pertumbuhan virus denggi di dalam nyamuk seterusnya menghalang penyebaran virus denggi. 

“Ada 28 kawasan yang sudah laksanakan. Kita lihat keberkesanannya agak besar dalam 30 hingga 100 peratus. Kita sedang melihat pelaksanaan program dalam setahun dua ini, kalau berkesan kita akan perluas terus ke seluruh negara,” katanya.

Dr Zaliha berkata usaha pencegahan dan kawalan denggi juga turut diperkasakan dengan penglibatan sukarelawan MyCHAMPION COMBI yang mempunyai 31,065 ahli terdiri daripada kalangan komuniti di seluruh negara.

Beliau berkata sukarelawan tersebut berperanan memberi kesedaran kesihatan kepada orang ramai dan sebanyak 73,170 sesi lawatan premis telah dilakukan oleh sukarelawan tersebut setakat Jun tahun ini.

Katanya selain itu sebanyak 894 sesi gotong-royong melibatkan kehadiran lebih 44,000 masyarakat telah dilaksanakan di seluruh negara.

Dalam pada itu Zaliha turut menyarankan semua jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan, komuniti dan sukarelawan di Terengganu menjadikan Sabtu minggu keempat setiap bulan sebagai hari membersihkan kawasan perumahan secara beramai-ramai ke arah membendung penularan kes denggi.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.