- Iklan -
Berita

Salahuddin Ayub meninggal dunia selepas pembedahan otak

Ahli Parlimen empat penggal itu adalah antara pengasas Amanah.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub. Gambar: Bernama
Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub. Gambar: Bernama

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub meninggal dunia malam ini, sehari selepas menjalani pembedahan selepas mengalami pendarahan otak. Beliau berusia 61 tahun.

Salahuddin disahkan meninggal dunia pada 9.23 malam di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah.

Beliau kali terakhir berkhidmat sebagai menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup.

Bekas ketua Pemuda PAS itu antara individu yang meninggalkan parti Islam tersebut pada 2015 untuk menubuhkan Amanah. 

Salahuddin juga pernah berkhidmat sebagai menteri pertanian dan industri asas tani sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan selama dua tahun pimpinan Dr Mahathir Mohamad. 

Pada Pilihan Raya Umum tahun lepas, beliau menewaskan Nur Jazlan Mohammed dari Umno dan Loh Kah Yong dari Perikatan Nasional untuk kerusi Parlimen Pulai di Johor, sekali gus mempertahankan penggal keempatnya sebagai ahli Parlimen.

Selain Pulai, Salahuddin pernah berkhidmat sebagai ahli Parlimen Kubang Kerian, Kelantan selama dua penggal ketika masih dalam PAS. 

Ahli politik dari Johor itu meninggalkan isteri Fatimah Taha dan enam anak.

Sementara itu, Setiausaha Akhbarnya Syakirin Husnal dalam satu kenyataan berkata jenazah akan dibawa pulang ke rumah ibunya untuk disolatkan dan dikebumikan di Kampung Serkat, Tanjung Piai.