- Iklan -
Berita

PM tunjuk bukti tandatangan dokumen penghapusan hutang Felda hari ini

Perdana menteri menjawab tuntutan permohonan maaf daripada bekas pemimpin Muhyiddin Yassin.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada majlis di Tajong Karang, 19 Julai. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada majlis di Tajong Karang, 19 Julai. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan mengemukakan bukti bahawa beliau sudah menandatangani dokumen bagi penghapusan hutang peneroka Felda hari ini.

“Saya boleh bawa, tak perlu tunggu 24 jam, dalam 12 jam saya boleh. Memang saya tandatangan pada 27 Jun lepas. Kenapa dia (bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin) tak buat kerja, tak tahu. 

“Kamu (Muhyiddin) cabar begitu… baik, saya tunjuk bukti saya tandatangan (pelupusan hutang RM990 juta), dia kena minta maaf,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Sambutan Maal Hijrah 1445H Perpaduan Tanjong Karang di Kampung Raja Musa di Tanjong Karang malam tadi.

Anwar berkata demikian bagi menjawab tuntutan Muhyiddin kepada beliau agar membuat permohonan maaf tanpa syarat dan terbuka secara bertulis susulan kenyataannya yang mendakwa hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion tidak pernah dilupuskan di bawah pentadbiran Muhyiddin.

Tuntutan itu dikemukakan dalam surat bertarikh 18 Julai menerusi firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership. 

Selain itu, dalam tempoh 24 jam daripada penerimaan surat berkenaan, Anwar juga perlu mengemukakan surat atau dokumen yang ditandatangani mengatakan beliau sebagai Menteri Kewangan pada akhir Jun lepas meluluskan pelupusan hutang peneroka Felda bernilai RM8.3 bilion.

Justeru, sebelum melakukan lawatan rasmi ke Vietnam esok, Anwar berkata beliau akan menghubungi Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Datuk Johan Mahmood Merican untuk menyerahkan bukti berkenaan. 

“Insya-Allah, sebelum saya ke Vietnam esok saya akan telefon KSP dan akan bagi (bukti) itu. Saya nak dia (Muhyiddin) minta maaf secara terbuka,” katanya. 

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, sebelum ini mendakwa Belanjawan 2021 dan 2022 di bawah Perikatan Nasional tidak mempunyai peruntukan untuk menyelesai dan melupuskan hutang Felda.

Katanya hanya dalam Belanjawan Madani 2023,  beliau menyerahkan RM990 juta peruntukan awal bagi melupuskan hutang peneroka Felda yang berjumlah RM8.3 bilion itu.