- Iklan -
Berita

'Anwar tak faham dokumen ditandatanganinya', kata Muhyiddin dalam pertikaian lupus hutang Felda

Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata beliau mengarahkan peguamnya untuk meneruskan tuntutan saman terhadap perdana menteri.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin berkata beliau mengarahkan peguamnya untuk meneruskan tuntutan saman terhadap Anwar Ibrahim, dengan berkata langkah itu diwajarkan susulan tindakan perdana menteri mendedahkan dokumen penerbitan sukuk berkaitan keputusan Kabinet pada 2020 untuk menghapuskan hutang peneroka Felda.

Muhyiddin berkata dokumen yang ditandatangani Anwar itu tidak membuktikan dakwaan mereka yang meluluskan untuk melupuskan hutang peneroka Felda.

"Saya pun pernah berkali-kali menjelaskan sebelum ini bahawa dokumen yang Anwar tandatangan itu adalah berkenaan sukuk bukan pelupusan hutang peneroka Felda.

"Pendedahan dokumen itu membuktikan saya bercakap benar. Yang berbohong dan fitnah saya ialah Anwar," kata bekas perdana menteri itu.

Pada 18 Julai, Muhyiddin melalui peguamnya memberi tempoh 24 jam kepada Anwar untuk menarik balik dakwaan beliau tidak menunaikan janjinya untuk menghapuskan hutang peneroka. 

Hari ini, Anwar mendedahkan dokumen yang menurutnya adalah bukti pelan pelupusan hutang itu diluluskan olehnya. 

Namun ia dipertikaikan serta-merta oleh bekas pembantu Muhyiddin, Marzuki Mohamad.

"Sekali pandang saya sudah tahu. Dokumen tersebut bukanlah perjanjian pelupusan hutang peneroka Felda, tetapi perjanjian mengenai sukuk berjaminan kerajaan yang diterbitkan secara berperingkat,” kata Marzuki.

Muhyiddin berkata tindakan Anwar mendedahkan dokumen sukuk sebagai bukti sekali gus menunjukkan beliau tidak faham apa yang ditandatanganinya.

"Ini bahaya. Entah apa lagi dokumen atau perjanjian yang dia tandatangan atas kapasitinya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan yang dia tidak faham atau tidak tahu isi kandungannya.

"Jelas Anwar tidak layak (incompetent) untuk kekal sebagai perdana menteri. Lagi lama Malaysia ditadbir oleh kerajaan Madanon Anwar Ibrahim, lagi besar mudaratnya  kepada rakyat," kata Muhyiddin, sambil menggunakan istilah menyindir slogan Madani diperkenalkan Anwar.

Tiga bulan selepas mengambil alih jawatan pada 2020, Muhyiddin memulakan rancangan melupuskan hutang peneroka Felda.

Pelan itu diluluskan oleh Kabinet pada Oktober 2020, yang antara lain bersetuju untuk terbitan sukuk RM9.9 bilion dengan jaminan kerajaan untuk membiayai rancangan penstrukturan semula Felda.

Pada Februari tahun ini, Putrajaya berkata ia tidak dapat meneruskan rancangan Muhyiddin untuk menghapuskan pinjaman peneroka, memetik aliran tunai Felda.

Awal bulan ini, Anwar mendakwa Muhyiddin tidak pernah melaksanakan rancangan menghapuskan pinjaman peneroka, sebaliknya berkata beliau yang sebagai menteri kewangan menandatangani peruntukan sebanyak RM8.3 bilion pada Jun lalu.

Anwar sekali lagi mengulangi kenyataan itu pada 8 Julai, berkata Muhyiddin terlalu sibuk "nak cari kontrak untuk anak pinak".