- Iklan -
Berita

Selepas didakwa dengan 2 pertuduhan, ‘fenomena Sanusi’ muncul

Ramai yang menyanjung menteri besar Kedah itu sebagai hero.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi bersalaman dengan penyokongnya di luar Mahkamah Selayang pada 18 Julai selepas beliau didakwa menyentuh isu 3R kaum, agama dan raja dalam ceramah politiknya.
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi bersalaman dengan penyokongnya di luar Mahkamah Selayang pada 18 Julai selepas beliau didakwa menyentuh isu 3R kaum, agama dan raja dalam ceramah politiknya.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor terus mencetuskan perbualan hangat di media sosial, kali ini dikenali sebagai “fenomena Sanusi” dalam tempoh kurang sehari beliau didakwa atas dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Selayang berhubung kenyataannya dalam satu ceramah politik, minggu lalu.

Rata-rata mereka menggelar Sanusi sebagai hero kerana berani berdepan dengan risiko undang-undang apabila bercakap tentang idea-idea politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini.

Semalam, Sanusi pulang ke negeri Kedah selepas selesai urusan pendakwaan. Di sana, beliau dilaporkan disambut ratusan penyokong yang hadir di lapangan terbang selain isteri dan sahabat terdekat yang menanti ketibaannya dari Kuala Lumpur.

Malah, tular beberapa keping gambar menyatakan keadaan di luar Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Alor Setar menjadi sesak kerana rakyat setempat hadir bagi menantikan ketibaan Sanusi.

Meskipun didakwa atas tuduhan menyentuh sensitiviti melibatkan raja-raja Melayu, orang ramai dilihat masih menyokong perjuangan Sanusi, satu reaksi yang bertentangan dengan jangkaan khususnya daripada kaum Melayu yang lazimnya kurang senang apabila topik tersebut disentuh oleh ahli-ahli politik.

Bagaimanapun, penerimaan pengguna di media sosial berbeza dengan ramai yang menyifatkan beliau bukanlah seorang yang membenci kesultanan Melayu, sebaliknya bersikap lantang dalam bersuara sehingga cuai dalam menyampaikan kata-kata.

“Dia bukan loqlaq, dia cuai tak perasan bila sedap bercakap.

“Cabaran ini akan kuatkan MB dalam politik,” tulis Mohd Hamzah pada pautan berita Facebook Astro Awani.

Seorang anak muda, Ahmad Nur Zahid pula memberikan komen menyifatkan Sanusi sebagai panglima perang negeri Kedah kerana tidak pernah memperlekeh rakyat dan membandingkan keadaan negeri itu dengan mana-mana negeri maju yang lain dalam Malaysia.

Dalam pada itu, seorang wartawan veteran dan penulis buku, Syahril A Kadir menulis pandangannya terhadap “fenomena Sanusi.”

Katanya, fenomena itu tercetus atas kemampuan Sanusi mencipta naratif perjuangan membawa Kedah keluar daripada negeri miskin sejak sekian lama sekali gus menaikkan semangat nasionalisme dan patriotisme rakyat negeri jelapang padi itu.

Selain itu, katanya, latar belakang Sanusi yang diketahui umum lahir dari keluarga miskin di sebuah kampung dan membesar dengan 13 orang adik beradik tetapi berjaya menaiki tangga dalam arena politik sehingga dinamakan sebagai menteri besar.

“Kita boleh kata apa sahaja, mentafsir apa sahaja, berkata apa sahaja.

“Tetapi, gelombang Sanusi tidak boleh dinafikan (kerana) telah mencipta satu ‘wave’ yang bukan biasa-biasa,” tulisnya di Facebook, semalam.

Sehingga kini, hantaran itu sudah mendapat hampir 10,000 sukaan dan hampir 1,000 perkongsian.

Di ruangan komen, ramai yang bersetuju dengan wartawan tersebut.

“Memang baik MB Kedah. Ini kenyataan ikhlas dari saya, anak Selangor yang menetap di Kedah,” tulis Rosiah Safuan.

Sementara itu, seorang rakyat Kedah dengan nama Rosilawati meninggalkan komen mengatakan Sanusi kini bukan lagi orang yang susah kerana sudah berjaya dalam kehidupan.

Namun berbekalkan pengalaman hidupnya sebagai orang miskin membuatkan pemimpin itu berusaha untuk terus membangunkan negeri.

“Itu yang buatkan dia sangat dekat dengan rakyat, tambahan pula sifat dia tak pernah merendah-rendahkan pendapat rakyat memanglah menjadi pemimpin dambaan di kala rata-rata rakyat sedang bergelut untuk mencari rezeki saban hari.”

Menurut Rosilawati, berbeza dengan kerajaan pusat yang disifatkannya tiak pernah belajar untuk merendah diri apabila mendengar keluhan rakyat sebaliknya dibalas dengan ejekan dan perlian.

Menurut Syahril lagi, pengaruh Sanusi akan menjadi semakin kuat selepas episod pendakwaan di mahkamah.

“Mungkin saya tak betul, namun fakta ini tak semestinya salah.

“Tunggu. Percayalah, cerita ini takkan habis di sini, dan ia sebenarnya baru bermula.” 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.