- Iklan -
Berita

Kumpulan peguam selar penggunaan Akta Hasutan terhadap Sanusi

Lawyers for Liberty mengingatkan Pakatan Harapan tentang pendiriannya menentang undang-undang sewaktu menjadi pembangkang.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dikerahkan berkawal di Mahkamah Sesyen Selayang ketika Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor didakwa menghasut, 18 Julai.
Anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dikerahkan berkawal di Mahkamah Sesyen Selayang ketika Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor didakwa menghasut, 18 Julai.

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) hari ini menyelar penggunaan Akta Hasutan 1948 terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, mengingatkan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) tentang pendiriannya menentang undang-undang sewaktu masih menjadi pembangkang.

Mengatakan ianya sebagai "hari hitam buat negara", pengarah LFL Zaid Malek berkata adalah "mengerikan" bahawa pertuduhan Sanusi telah berlaku di bawah kerajaan pimpinan PH. 

“Kecaman PH dan ketuanya Anwar Ibrahim terhadap undang-undang ini nampaknya hanya ketika tindakan terhadap mereka.

“Kini, mereka tidak ragu-ragu menggunakannya apabila mereka yang berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Sanusi didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang kerana membuat kenyataan berbaur hasutan mengenai pelantikan rakan sejawatannya di Selangor Amirudin Shari dalam satu ceramah politik. 

Beliau juga didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur hasutan berhubung penubuhan kerajaan campuran.

Mempersoalkan pertuduhan terhadap Sanusi, Zaid berkata kerajaan "sudah menghalang wacana politik yang sah dan melanggar kebebasan bersuara" seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 10 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan. 

“Perdana menteri, Anwar sendiri, sepatutnya tahu perkara ini selepas mengalami dakwaan sama kerana tidak menghormati institusi diraja sebelum ini termasuk mendesak Agong membatalkan pengisytiharan darurat pada 2021,” katanya.

Sambil menyifatkan Akta Hasutan sebagai "konsep undang-undang kuno", beliau berkata kebanyakan negara Komanwel sudah menghapuskannya.

"Peruntukan perkataannya yang luas menjadikan hak kebebasan bersuara menjadi ilusi. Perdana menteri dan menteri dan ahli Parlimen PH yang lain mengetahui tentang perkara ini, itulah sebabnya ia sentiasa menjadi sebahagian daripada janji kempen mereka untuk memansuhkan undang-undang ini," tambahnya. 

Sambil menggesa kerajaan menggantung penguatkuasaan Akta Hasutan sementara menunggu pemansuhan pada sidang Parlimen akan datang, beliau berkata adalah tidak sah untuk menggunakan undang-undang terhadap Perikatan Nasional dan penyokongnya sama seperti yang pernah digunakan terhadap PH. 

"Itu tidak berubah hanya kerana PH berkuasa. 

“Tiada kerajaan yang sah boleh dibenarkan menggunakan kuasa yang diberikan oleh undang-undang ini," katanya.

Peguam Zaid Ibrahim, Ambiga Sreenevesan dan N Surendran sebelum ini juga mengkritik langkah itu, dengan Zaid berkata kerajaan sibuk mengejar pengkritiknya. 

Sementara itu, Ambiga berkata bahawa sebarang penggunaan Akta Hasutan adalah "tidak boleh diterima sama-sekali". 

"Jadi bertentangan dengan Malaysia yang kita perjuangkan. 

“Akta Hasutan mesti dimansuhkan!" kata bekas presiden Majlis Peguam itu. 

Surendran juga berkata bahawa "cita-cita yang pernah diperjuangkan" dilupakan. 

"Saya didakwa dua kali di bawah Akta Hasutan semasa rejim Barisan Nasional atas kenyataan yang saya buat membela Anwar berhubung kes liwatnya. 

“Kini di bawah kerajaan baru pimpinan Anwar, musuh politik menghadapi tuduhan menghasut. 

“PH pernah melawan undang-undang ini, kini menggunakannya,” katanya.