- Iklan -
Berita

TPM saran insentif atlet dinaikkan 3 kali ganda

Beliau berkata insentif semasa tidak mencukupi jika dibandingkan dengan pencapaian atlet negara pada pertandingan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menyarankan agar nilai ganjaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) dinaikkan tiga kali ganda pada 2024 sebagai insentif kepada atlet negara yang mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

Berucap pada Majlis Penyampaian Shakam 2023 di Bangi malam ini, beliau berkata insentif ketika ini dirasakan tidak mencukupi jika dibandingkan dengan pencapaian atlet negara yang semakin membanggakan pada setiap temasya sukan.

“Saya lihat pencapaian kita semakin meningkat tetapi hadiah itu tidak meningkat. Saya juga simpati dengan Menteri (Belia dan Sukan Hannah Yeoh) kerana beliau cuba meminta (dengan kerajaan) untuk hadiah dan habuan yang banyak.

“Kalau diundang lagi untuk Shakam seterusnya, saya mahu jumlahnya tiga kali ganda. Banyak pihak swasta turut berhasrat untuk taja dan (jika) syarikat yang tersenarai yang mendapat keuntungan luar biasa dapat menaja, saya yakin kerajaan akan berikan pengurangan cukai kepada mereka,” katanya.

Zahid, yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah, turut menyuarakan harapan dan keyakinan bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan mengumumkan insentif tambahan bagi bidang sukan dalam Belanjawan 2024 pada Oktober depan. 

Shakam merupakan manifestasi penghargaan negara kepada atlet yang meraih pingat pada temasya sukan utama antaranya Sukan Olimpik, Paralimpik, Sukan Komanwel, Sukan Asia, Sukan Para Asia, Sukan SEA dan Sukan Para Asean.

Nilai ganjaran tertinggi ialah RM1 juta bagi pemenang pingat emas dalam Sukan Olimpik serta Sukan Paralimpik dan insentif Shakam turut diberikan kepada atlet yang berjaya mencipta rekod baharu.

Zahid turut memuji komitmen Hannah dalam membangunkan prestasi sukan negara bersama-sama timbalannya, Adam Adli Abd Halim.

“Saya merasakan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) beruntung kerana Hannah sangat proaktif. Saya tengok dalam mesyuarat Kabinet, beliau sangat memperjuang nasib ahli sukan di negara ini,” katanya sambil menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian atlet negara pada Sukan SEA dan Sukan Para Asean yang berlangsung di Kemboja baru-baru ini.

Shakam 2023 menyaksikan pemegang pingat Sukan SEA menerima jumlah keseluruhan ganjaran lebih RM1.2 juta manakala pemenang pingat dalam Sukan Para Asean membawa pulang ganjaran bernilai RM1.18 juta.

Majlis itu turut meraikan kejayaan atlet negara yang beraksi di Sukan Olimpik Khas 2023 di Berlin, Jerman pada Jun lepas dan mereka menerima insentif sebanyak RM95,500.