- Iklan -
Berita

KDN sahkan bekas peguam 1MDB ditahan

Saifuddin Nasution Ismail berkata Jasmine Loo ditahan pada 7 Julai dan direman pada 8 Julai.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang penunggang motosikal melepasi tapak pembinaan utama 1MDB, Tun Razak Exchange di Kuala Lumpur pada 8 Julai 2015. Gambar: AFP
Seorang penunggang motosikal melepasi tapak pembinaan utama 1MDB, Tun Razak Exchange di Kuala Lumpur pada 8 Julai 2015. Gambar: AFP

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail hari ini mengesahkan bahawa polis menahan bekas peguam 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Jasmine Loo Ai Swan Jumaat lepas bagi membantu siasatan isu penyelewengan dana syarikat berkenaan.

Beliau berkata Loo direman pada hari Sabtu, selepas ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, dan Loo melalui peguamnya menyatakan kesediaan untuk bekerjasama membantu siasatan polis dalam kes berkaitan 1MDB, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

"Loo akan membantu siasatan polis dan kerajaan Malaysia dalam kes 1MDB," katanya dalam sidang media di Putrajaya semalam, namun beliau bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai tempoh reman Loo.

Pada 20 Jan lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak dua kereta mewah dan wang berjumlah RM22,600 milik Loo.

Loo dikatakan seorang daripada rakan sekutu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low yang turut terbabit dalam skandal kewangan 1MDB dan disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki selepas melarikan diri dan tidak diketahui keberadaannya sehingga kini.

Pada 4 Disember 2018, Mahkamah Majistret mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low, Loo, bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang Keng Chee, bekas pegawai 1MDB, Geh Choh Heng dan sekutu Jho Low, Eric Tan Kim Loong.

Waran tangkap itu dikeluarkan selepas mereka gagal hadir di mahkamah bagi menghadapi tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB.