- Iklan -
Berita

Tarik balik tuntutan sistem berasaskan merit, MCA beritahu DAP

Parti komponen BN itu berkata DAP mesti menjelaskan pendirian parti tersebut yang jelas tidak lagi menentang sistem kuota untuk Melayu dan Bumiputera.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pelajar Universiti Putra Malaysia menelaah pelajaran di perpustakaan universiti.
Pelajar Universiti Putra Malaysia menelaah pelajaran di perpustakaan universiti.

MCA sekali lagi mengkritik perubahan dasar DAP sejak bekerjasama dengan Umno dalam kerajaan Persekutuan, selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengisytiharkan bahawa sistem kuota untuk pelajar Bumiputera memasuki universiti awam akan diteruskan.

Naib Presiden MCA Ti Lian Ker berkata ini bertentangan dengan pendirian asal DAP yang menentang sistem kuota, serta pembahagian rakyat kepada “bumiputera” dan “bukan bumiputera”.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Pengerusi DAP Lim Guan Eng atas perubahan pendirian itu, Ti berkata sokongan parti itu terhadap sistem kuota adalah berbeza dengan pendahulunya dan bapanya Lim Kit Siang yang secara konsisten menggesa sistem berasaskan merit. 

Beliau menggesa Guan Eng untuk menjadikannya secara rasmi dengan menarik balik pendirian parti itu dan “memadamkan tuntutan mereka sepenuhnya untuk menunjukkan mereka sudahpun sedar bahawa tindakan mereka selama ini adalah salah".

“Mesej yang jelas perlu disampaikan pada  penyokong DAP bahawa setelah bersama kerajaan perpaduan, mereka sudah sedar dan bertaubat,” katanya.

Bercakap pada majlis perjumpaan bersama pelajar Universiti Utara Malaysia minggu lepas, Anwar berkata sistem kuota akan diteruskan memihak kepada pelajar Melayu dan Bumiputera, sambil menambah tanpanya akan wujud ketidakseimbangan pelajar Melayu dalam bidang tertentu.

Ia merupakan kenyataan terbaru perdana menteri untuk menarik sokongan pengundi Melayu menjelang pilihan raya penting di enam negeri bulan depan. 

Anwar, yang mengadakan jelajah ke seluruh negara untuk bertemu pelajar dan penjawat awam, telah membela DAP di depan sebahagian besar orang Melayu, sambil berkata menteri daripada parti itu tidak pernah mempersoalkan program kerajaan untuk membantu kaum itu.

Ti berkata, pengumuman Anwar itu menggambarkan kedudukan Kabinet yang merangkumi pemimpin DAP. 

Beliau berkata apa yang diperlukan sekarang ialah penarikan balik yang jelas terhadap penentangan DAP pada masa lalu terhadap sistem kuota.

“Tindakan ini sangat-sangat dialukan dan diperlukan untuk meredakan ketegangan dan polarisasi etnik yang semakin ketara dan merunsingkan di peringkat akar-umbi sejak DAP berkuasa kerana jurang perbedaan yang wujud antara mereka yang termakan hasutan DAP dan mereka yang menentang perjuangan DAP ini.

“DAP kenalah dengan jelas dan ikhlas menyatakan mereka bersetuju dengan kuota bumiputera dan 'Bumiputera Kekal' sebagai mesej yang jelas kepada penyokong mereka supaya penentangan dasar ini tidak berterusan dan mengancam ketenteraman,” tambahnya.