- Iklan -
Berita

Saingan sengit, pengundi Melayu kekal sokong PN, lapor akhbar Singapura

Tiga pemerhati politik Malaysia bersetuju sokongan Melayu masih menjadi halangan terbesar PH-BN.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Penyokong berkumpul ketika acara Perikatan Nasional di Shah Alam, menjelang PRN di Selangor.
Penyokong berkumpul ketika acara Perikatan Nasional di Shah Alam, menjelang PRN di Selangor.

Berita Minggu Singapura melaporkan, enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan menyaksikan gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) menerima pukulan di tangan Perikatan Nasional, memetik penganalisis yang mengatakan sokongan pengundi Melayu masih belum beralih kepada PH-BN sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu.

Akhbar itu memetik seorang penganalisis berpengalaman sebagai berkata terdapat petunjuk kukuh kerajaan negeri boleh tertukar di Negeri Sembilan dan Selangor, negeri ini merupakan sandaran utama kedua gabungan PH-BN dan PN dalam kempen mereka.

Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun berpendapat PN berpeluang membentuk kerajaan di Negeri Sembilan, sambil menambah akan berlaku persaingan sengit di Selangor. 

Beliau berkata sentimen semasa di Malaysia mencerminkan keadaan di tempat lain di dunia Islam.

“Ini berdasarkan pemerhatian lama berkaitan politik Malaysia, kebangkitan politik Islam di negara itu serta perkembangan sejagat khususnya kebangkitan Islam bukan sahaja di Malaysia, bahkan di Turkiye dan Indonesia,” katanya.

Norshahril Saat berkata berikutan jajaran politik baharu, adalah lebih sukar untuk meramalkan keputusan pengundian kali ini, meskipun tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu dapat melihat pengukuhan pentadbiran PAS berikutan peralihan penyokong Umno ke arah PN.

“Pulau Pinang pula adalah kubu kuat DAP, cuma bezanya adalah bagaimana rakyat negeri itu menilai kerjasama DAP dan Umno di peringkat Persekutuan. 

“Selangor dan Negeri Sembilan pula agak sukar diramal, kerana setiap gabungan parti ada kekuatan masing-masing,” kata Norshahril yang juga felo kanan ISEAS-Institut Yusof Ishak Singapura.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata walaupun beliau menjangkakan status quo dari segi parti yang menerajui enam kerajaan negeri, namun majoriti dan kerusi dikuasai PH-BN diramal berkurangan berbanding jumlah yang dimenangi PH ketika bertanding secara solo sebelum ini.

“Gelombang keraguan masyarakat Melayu kepada kerajaan perpaduan masih terlalu kuat. 

“Ini bukan sahaja berkaitan ‘gelombang agama’ (green wave), tetapi sentimen lebih umum berkaitan kegagalan kerajaan menangani isu kos kehidupan selepas tujuh bulan serta bantahan masyarakat Melayu kepada Umno yang dilihat terlibat dengan rasuah,” katanya.

“Gelombang hijau”, merujuk kepada warna tema PAS, ungkapan yang digunakan oleh pemimpin DAP untuk menggambarkan pencapaian PN dalam pilihan raya umum lalu, tetapi dilihat sebagai menghina dan bersifat Islamofobia oleh orang yang bersimpati terhadap parti Islam itu.

Fauzi berkata PRN ini akan menyaksikan trend selama ini berulang, apabila PAS "secara automatik" akan menjadi parti pilihan mereka apabila ada rasa tidak puas hati terhadap Umno.

BN mengalami kekalahan pilihan raya paling teruk dalam PRU15 tahun lepas, dengan PN muncul sebagai pemenang di kerusi yang secara tradisinya dimenangi oleh Umno. 

Pemerhati dan peninjau menunjukkan bahawa trend itu akan berulang pada PRN. 

Tinjauan terbaru yang diterbitkan oleh Institut Kajian Asia Tenggara Singapura mendapati majoriti mereka yang mengundi Umno dalam pilihan raya umum kini akan menyokong calon PN dan bukannya PH-BN.

Menurut tinjauan tersebut, trend berkenaan dicerminkan di 39 kerusi majoriti Melayu di Selangor, dan menandakan berakhirnya pemerintahan 15 tahun PH di negeri terkaya Malaysia itu. 

Oh, Norshahril dan Fauzi tidak menolak kesan kepada kerajaan campuran Perdana Menteri Anwar Ibrahim di peringkat Persekutuan sekiranya PH-BN berakhir dengan teruk pada PRN ini. 

Fauzi berkata walaupun "secara teori" kerajaan persekutuan mungkin kekal, namun terdapat tekanan daripada akar umbi Umno untuk menilai semula sokongan parti itu terhadap Anwar. 

Beliau menambah bahawa sekiranya Umno keluar, sokongan daripada GPS Sarawak dan lain-lain parti di Sabah juga boleh terjejas, kerana mereka akan menilai "tawaran lebih baik" yang diberikan PN. 

Bagi Oh, kerajaan Anwar berisiko sekiranya berlaku kekalahan pada PRN ini.

“Ahli Parlimen individu yang kini menyokong Anwar akan berfikir dua kali memandangkan keputusan PRN.

“Mereka akan kekal dengan parti mereka sekarang supaya tidak mencetuskan undang-undang antilompat parti, tetapi boleh mengisytiharkan sokongan mereka kepada pemimpin PN untuk menjadi perdana menteri.

“Jika cukup bilangan mereka berbuat demikian, Anwar akan kehilangan majoriti (Parlimen),” tambah Oh.