- Iklan -
Berita

Muhyiddin tarik balik permohonan pindah kes ke Mahkamah Tinggi

Peguamnya berkata surat permohonan menarik balik itu telah dihantar ke mahkamah pada 5 Julai.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur menjelang perbicaraan pada 26 Mei 2023. Foto: Bernama
Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur menjelang perbicaraan pada 26 Mei 2023. Foto: Bernama

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin hari ini menarik balik permohonan supaya tujuh kes menggunakan kedudukan untuk suapan dan menerima wang hasil aktiviti haram yang dihadapinya, dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Muhyiddin memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi K Muniandy, bahawa pihaknya telah menghantar surat penarikan permohonan itu kepada pendakwaan pada 5 Julai lepas.

“Oleh itu, pihak kami memohon supaya permohonan untuk memindahkan kes ini dibatalkan,” katanya semasa pengurusan kes itu hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin mengesahkan perkara itu dan tidak membantah permohonan berkenaan.

Menerusi surat permohonan menari balik pemindahan itu, Muhyiddin juga memohon untuk membatalkan pertuduhan-pertuduhan dan permohonan untuk memindahkan kes akan menjadi akademik, jika permohonan membatalkan pertuduhan dibenarkan. 

“Kami (pembelaan) telah mengesyorkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), supaya permohonan pemindahan ditunda sehingga selepas permohonan pembatalan diputuskan, namun SPRM mahu permohonan pemindahan didengar dahulu.

“Bagaimanapun demi menjimatkan masa dan kos mahkamah, oleh kerana kami berpendapat permohonan pemindahan akan menjadi akademik jika permohonan pembatalan tersebut dibenarkan, kami dengan ini menarik balik (permohonan pemindahan) ini,” seperti terkandung dalam surat itu.

Pada 10 Mac lepas, Muhyiddin, 76, didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta dan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram RM195 juta.

Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya dan CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral, di sini, antara 25 Feb 2021 dan 16 Julai 2021, 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 serta 8 Feb dan 8 Julai 2022.

Pada 13 Mac lepas pula, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta di AmBank cawangan Amcorp Mall, Petaling Jaya dekat sini, pada 7 Jan 2022.

Muhyiddin memfailkan permohonan untuk membatalkan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu pada 18 April lepas.

Pada 27 April, Muhyiddin memfailkan permohonan untuk memindahkan kesemua kesnya ke Mahkamah Tinggi kerana kes itu melibatkan persoalan undang-undang yang kompleks membabitkan Perlembagaan Persekutuan.